REXY mengakui Hon Jian-Sze Fei mempunyai keserasian yang baik di dalam gelanggang. FOTO SYAIFUL RAZIQ
REXY mengakui Hon Jian-Sze Fei mempunyai keserasian yang baik di dalam gelanggang. FOTO SYAIFUL RAZIQ
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Teka teki siapa pasangan baharu buat pemain beregu lelaki, Goh Sze Fei kini hampir terjawab apabila pemain kelahiran Melaka itu dijangka bakal digandingkan bersama pemain beregu campuran Choong Hon Jian.

Perkembangan itu disahkan sendiri Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky sambil memberitahu dirinya akan berbincang bersama jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto berkenaan perkara itu sebelum keputusan sebenar dilakukan.

Jelasnya, berdasarkan pemerhatian yang dibuat barisan kejurulatihan, Hon Jian-Sze Fei mempunyai keserasian yang baik di dalam gelanggang dan beliau yakin sekiranya pasangan ini digandingkan kelak mereka mampu untuk pergi lebih jauh.

"Untuk Sze Fei- Hon Jian saya boleh cakap ia mungkin 80-90 peratus akan digandingkan. Jadi hari ini saya akan berhubung dengan jurulatih beregu campuran Nova bagi membincangkan perkara ini.

"Kalau kita lihat usia Hon Jian ketika ini, bagi saya kalau digandingkan bersama (Sze Fei) ia cukup baik apatah lagi ia akan bagi pendedahan yang baik kepada pemain ini. Malah ia juga sesuai dengan cara permainan Sze Fei yang merupakan seorang playmaker.

"Selama ini kalau kita lihat pasangan Sze Fei iaitu Izzudin dia ada kekuatan dan saya lihat Hon Jian ada benda itu. Waktu kita gandingkan mereka bersama (Hon Jian-Sze Fei) mereka mempunyai keserasian yang sangat baik dalam gelanggang ketika menentang Man Wei Chong-Tee Kai Wun baru-baru ini.

"Saya sudah berbincang perkara ini bersama Tan Bin Shen dan Hoon Tien How dan mereka bersetuju dengan keputusan itu dan akan saya follow up dengan Nova sama ada pemain itu bersedia atau tidak. Keputusan itu saya akan buat selewat-lewatnya minggu depan," katanya.

Untuk rekod, Hon Jian yang kini berpasangan bersama Yap Ling dalam acara beregu campuran pernah mempunyai pengalaman beraksi dalam acara beregu lelaki apabila pernah bergandingan bersama Kai wun dan Cheng Tan Jie sebelum ini.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas berkenaan pasangan baharu buat Nur Izzuddin Rumsani, Rexy memberitahu pihaknya sudah mempunyai beberapa nama namun enggan mendedahkannya.

Bagaimanapun, Rexy memberi bayangan pasangan baharu Nur Izzuddin yang akan diumumkan nanti tidak akan membabitkan gandingan beregu lelaki negara meningkat naik yang ada ketika ini.

"Saya rasa ia tidak akan membabitkan pemain seperti Wei Chong-Kai Wung. Sebab mereka ini susah untuk kita pisahkan.

"Ini kerana kita masih ada banyak pemain-pemain muda dan baharu yang kita boleh gandingkan nanti. Tapi saya harap bila kita umumkan pasangan mereka nanti tiada isu yang berbangkit timbul atau mereka mahu bergandingan semula dengan pasangan mereka sebelum ini," ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2023 @ 3:29 PM