ANTARA rakan Jufferi yang berada di luar negara mempromosikan AIS.
ANTARA rakan Jufferi yang berada di luar negara mempromosikan AIS.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Dari Belanda hingga ke United Kingdom. Itu penangan Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro apabila terdapat individu dari negara berkenaan turut bersama mengundi ikon pilihan masing-masing sebelum diumumkan pemenangnya awal bulan depan.

Antara finalis yang mendapat undian daripada pengundi 'import' adalah calon 'top 5' Ikon Sukan Lelaki Gardenia Breakthru, Al Jufferi Jamari apabila rakannya yang berada di luar negara turut mempromosikan beliau dalam usaha meraih sokongan orang ramai.

Jufferi berkata, tindakannya memuat naik video mempromosikan AIS di Instagram miliknya menarik perhatian rakan luar negara untuk turut mengundi dalam anugerah terbabit.

"Pada peringkat awal saya hanya mempromosikan anugerah berkenaan namun ada antara rakan yang berada di luar negara bertanya mengenai perkara itu dan mahu turut mengundi saya.

"Saya ingatkan pengundi luar negara tidak boleh namun apabila mereka mencuba ternyata tidak berhadapan masalah untuk membuat undian.

"Antara rakan yang mengundi adalah warga Belanda dan United Kingdom serta beberapa negara lain dengan mereka ini sangat dikenali apabila menyertai kejohanan silat antarabangsa," katanya.

Jufferi antara lima nama besar dalam arena sukan negara yang akan berentap bagi membuktikan siapa yang layak bergelar sebagai Ikon Sukan Lelaki Gardenia Breakthru.

Selain juara dunia empat kali itu, turut tersenarai adalah pemain badminton profesional Lee Zii Jia dan beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Turut tersenarai adalah Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2022 Arif Aiman Hanapi dan bintang olahraga semakin meningkat Muhammad Azeem Fahmi.

Kelima-lima calon itu kini berentap di pusingan kedua membabitkan 50 peratus penilaian juri profesional dan 50 peratus lagi daripada undian pilihan peminat.

Seorang pemenang meraih undian dan markah paling banyak akan dinobatkan sebagai juara Anugerah Ikon Sukan Terbaik dan pemenangnya akan diumumkan pada malam kemuncak AIS yang disiarkan secara langsung, pada 8 Januari depan di saluran TV9 selaku penyiar rasmi.

Gardenia Breakthru adalah penaja utama, CIMB penaja bersama manakala UKMSpace rakan penaja bagi AIS.

Selain Anugerah Ikon Sukan Lelaki Breakthru, sebanyak tujuh lagi kategori utama dipertandingkan untuk AIS iaitu Ikon Sukan Wanita Breakthru; Ikon Sukan Paralimpik; Ikon Sukan Jurulatih; Ikon Sukan Persatuan/Kelab; Ikon Sukan Kepimpinan; Ikon Sukan Harapan; dan Ikon Sukan Pempengaruh.

Dapatkan borang undian AIS di dalam akhbar Harian Metro atau boleh mengundi melalui www.hmetro.com.my/AIS sehingga 25 Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2022 @ 6:45 AM