Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Lima nama besar dalam arena sukan negara akan berentap bagi membuktikan siapa yang layak bergelar sebagai Ikon Sukan Lelaki Gardenia Breakthru.

Antara nama yang berjaya menembusi peringkat lima terbaik adalah membabitkan pemain badminton profesional, Lee Zii Jia dan beregu lelaki negara. Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Turut berada dalam senarai akhir itu adalah Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2021, Arif Aiman Hanapi.

Namun, mereka tidak akan mendapat laluan mudah kerana terdapat dua lawan lain yang boleh dikatakan mampu memberi tentangan sengit berdasarkan kepada pencapaian yang dikecapi sebelum ini.

Calon lain dalam kategori Ikon Sukan Lelaki Gardenia Breakthru itu ialah juara dunia empat kali di Kejuaraan Pencak Silat Dunia, Al Jufferi Jamari selain turut membabitkan bintang olahraga semakin meningkat, Muhammad Azeem Fahmi.

AZEEM antara calon Ikon Sukan Lelaki. FOTO Hazreen Mohamad
AZEEM antara calon Ikon Sukan Lelaki. FOTO Hazreen Mohamad

Kelima-lima calon itu akan berentap sekali lagi dengan pemilihan kali ini membabitkan 50 peratus penilaian juri profesional dan 50 peratus lagi daripada undian pilihan peminat.

Seorang pemenang meraih undian dan markah paling banyak akan dinobatkan dengan Anugerah Ikon Sukan Terbaik dan pemenangnya akan diumumkan pada malam kemuncak AIS yang disiarkan secara langsung, Januari depan di saluran TV9 selaku penyiar rasmi bagi AIS manakala Gardenia Bakeries sebagai penaja utama.

Selain Anugerah Ikon Sukan Lelaki Breakthru, sebanyak tujuh lagi kategori utama dipertandingkan untuk AIS iaitu Ikon Sukan Wanita Breakthru; Ikon Sukan Paralimpik; Ikon Sukan Jurulatih; Ikon Sukan Persatuan/Kelab; Ikon Sukan Kepimpinan; Ikon Sukan Harapan; dan Ikon Sukan Pempengaruh.

Dapatkan borang undian AIS di dalam akhbar Harian Metro atau boleh mengundi melalui www.hmetro.com.my/AIS.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2022 @ 6:43 PM