SERI Paduka Baginda berdua turut menzahirkan harapan semoga pencapaian ini akan membakar semangat Aaron Chia dan Soh Wooi Yik. FOTO Ihsan Facebook Istana Negara
SERI Paduka Baginda berdua turut menzahirkan harapan semoga pencapaian ini akan membakar semangat Aaron Chia dan Soh Wooi Yik. FOTO Ihsan Facebook Istana Negara
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik atas kejayaan menjadi pemain badminton pertama negara bergelar juara di Kejohanan Badminton Dunia.

Turut menzahirkan ucapan tahniah itu adalah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa sukacita dan bangga di atas kejayaan itu yang sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

Malah, pencapaian cemerlang Aaron Chia dan Soh Wooi Yik membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan atlet yang berkualiti dan bertaraf antarabangsa.

Selain itu, ia juga membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di peringkat dunia.

"Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan harapan semoga pencapaian ini akan membakar semangat Aaron Chia dan Soh Wooi Yik untuk terus berlatih dan bekerja keras untuk kejohanan mendatang serta menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Aaron Chia dan Soh Wooi Yik dan mendoakan semoga mereka dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan," titah baginda menerusi laman Facebook rasmi Istana Negara.

Pada aksi final yang berlangsung di Gimnasium Metropolitan Tokyo menyaksikan Aaron-Wooi Yik berjaya membuang badi tanpa gelaran namun mereka mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pemain badminton pertama berjaya bergelar juara di Kejohanan Badminton Dunia.

Kejayaan terbabit berjaya dilakar selepas beregu yang berada di ranking keenam dunia itu mengalahkan pasangan Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19,21-14.

Untuk rekod, pencapaian terbaik Malaysia di pentas kejuaraan dunia adalah meraih perak menerusi Datuk Lee Chong Wei pada 2011, 2013 dan 2015 manakala beregu lelaki menerusi Jalani-Datuk Razif Sidek (1987), Cheah Soon Kit-Soo Beng Kiang (1993), Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (1997) dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong (2010).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2022 @ 7:40 PM