SERI Paduka Baginda berdua menzahirkan ucapan tahniah kepada Azizulhasni atas kejayaannya menyumbang pingat perak acara keirin di Olimpik Tokyo 2020. FOTO Facebook Istana Negara
SERI Paduka Baginda berdua menzahirkan ucapan tahniah kepada Azizulhasni atas kejayaannya menyumbang pingat perak acara keirin di Olimpik Tokyo 2020. FOTO Facebook Istana Negara
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada pelumba basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang di atas kejayaan merangkul pingat perak dalam acara keirin Olimpik Tokyo 2020, hari ini.

Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga di atas kejayaan Azizulasni membawa pulang pingat perak buat kontinjen negara di kejohanan sukan terbesar dunia itu, sekali gus melakar sejarah buat sukan lumba basikal trek negara dan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

"Seri Paduka Baginda berdua menyifatkan pencapaian Datuk Azizulhasni ini sebagai pencapaian amat bermakna kepada Malaysia.

"Semestinya seluruh rakyat Malaysia amat berbangga dengan aksi dan semangat tidak mudah mengalah yang ditunjukkan Datuk Azizulhasni," kata Istana Negara dalam satu kenyataan.

Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan barisan kejurulatihan pasukan basikal trek negara serta seluruh kontinjen negara di Olimpik Tokyo 2020.

"Seri Paduka Baginda berdua mendoakan semoga semua atlet negara akan memperoleh kejayaan cemerlang dan mengharumkan nama negara di kejohanan mendatang," katanya.

Kontinjen negara menutup tirai Olimpik Tokyo 2020 dengan meraih satu perak menerusi Azizulhasni dan gangsa sumbangan beregu badminton lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 5:40 PM