GANDINGAN Pearly Tan (kanan) dan Thinaah Muralitharan memberikan mata tunggal kepada skuad negara sebelum kecundang 1-4 kepada Thailand. FOTO Bernama
GANDINGAN Pearly Tan (kanan) dan Thinaah Muralitharan memberikan mata tunggal kepada skuad negara sebelum kecundang 1-4 kepada Thailand. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Perjuangan skuad wanita negara dalam saingan Piala Uber di Bangkok, Thailand, berakhir selepas mengalami kekalahan kedua berturut-turut dalam aksi peringkat kumpulan, malam ini.

Selepas tewas kepada Denmark 2-3 semalam, skuad wanita negara dilihat tidak berupaya memberi tentangan sengit kepada tuan rumah sekali gus tunduk 4-1 dalam aksi kedua Kumpulan C.

Keputusan itu menyaksikan pintu buat Malaysia untuk layak ke suku akhir sudah tertutup rapat dengan aksi terakhir bertemu Mesir, malam esok, sekadar pelengkap jadual.

Thailand dan Denmark yang sudah merekodkan dua kemenangan secara automatik layak ke pusingan kalah mati dengan aksi terakhir antara kedua-dua pasukan esok akan menentukan juara dan naib juara kumpulan.

Terdahulu, juara remaja dunia dua kali, Goh Jin Wei yang diberi tanggungjawab sebagai perseorangan pertama negara hampir mencipta kejutan ke atas bekas juara dunia, Ratchanok Intanon sebelum akur dengan kekalahan 21-14, 14-21, 15-21.

Beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah bagaimanapun menyamakan kedudukan buat skuad negara apabila mengatasi gandingan Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai 16-21, 21-19, 21-17.

Namun, Thailand kembali mendahului menerusi kemenangan perseorangan kedua mereka, Pornpawee Chochuwong yang menewaskan pemain muda negara, Myisha Khairul 22-20, 21-10.

Beregu kedua tuan rumah, Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard memastikan kemenangan awal pasukan itu selepas menundukkan pasangan negara Valeriee Siow-Teoh Mei Xing 21-9, 21-14.

Aksi perseorangan ketiga menyaksikan Busanan Ongbamrungphan menang ke atas pemain negara, Tan Zhing Yi 21-19, 21-6.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2022 @ 9:41 PM