SOONG JOO VEN
SOONG JOO VEN
Ferzalfie Fauzi


PEMAIN perseorangan lelaki negara, Soong Joo Ven bermula dengan langkah kanan pada Terbuka Switzerland apabila menumpaskan Adulrach Namkul dari Thailand 24-22, 21-19 pada pusingan pertama di Basel, awal pagi tadi.

Joo Ven yang perlu mempamerkan prestasi terbaik supaya kekal dalam skuad ke Piala Thomas Mei depan, mengakui kejayaan menyambar mata pada saat kritikal menjadi penentu kemenangannya hari ini.

“Tiada apa yang perlu saya katakan mengenai perlawanan itu cuma ketika di kedudukan untuk mengutip mata penting saya berjaya melakukannya dengan baik,” kata pemain kelahiran Kuala Lumpur itu.

Menanti Joo Ven pada pusingan kedua awal pagi esok adalah seorang lagi pemain Thailand, Suppanyu Avihingsanon yang sebelum itu mengalahkan Kim Bruun dari Denmark 21-11, 19-21, 21-19.

“Saya akan cuba meneruskan permainan terbaik untuk aksi pusingan kedua. Empat kekalahan berturut-turut ke atas Suppanyu sebelum ini membuatkan saya rasa tercabar. Dia salah seorang pemain yang saya terlalu ingin kalahkan,” kata Joo Ven.

Turut mara ke pusingan kedua Iskandar Zulkarnain Zainuddin yang mengalahkan Eetu Heino dari Finland 21-23, 21-14, 21-10.

Iskandar akan berdepan Jan O Jorgensen dari Denmark, yang sebelum itu menumpaskan seorang lagi wakil negara Lee Zii Jia 21-15, 21-14.

Naib juara Cabaran Antarabangsa India musim lalu, Soh Wooi Yik-Aaron Chia juga berjaya menempah slot ke pusingan kedua apabila mengalahkan gandingan campuran Indonesia/Bulgaria, Titon Gustaman-Stilian Makarski 19-21, 21-19, 21-7.

Beregu lelaki negara itu akan berdepan pilihan kelapan Mark Lamsfuss-Marvin Emil Seidel dari Jerman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2018 @ 4:42 PM