AARON (kanan) dan Wooi Yik tewas di pusingan kedua Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Dubai, semalam. FOTO BADMINTON PHOTO
AARON (kanan) dan Wooi Yik tewas di pusingan kedua Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Dubai, semalam. FOTO BADMINTON PHOTO
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Walaupun gagal mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2023, Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky menganggap ada peningkatan ditampilkan pasangan juara dunia, Aaron Chia-Soh Woo Yik berbanding ketika beraksi di jelajah Eropah.

Aaron-Wooi Yik yang diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan ditunjukkan jalan keluar oleh wakil Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin selepas kalah 21-14, 16-21, 19-21.

Menurut Rexy, prestasi anak buahnya itu lebih baik kerana sedikit demi sedikit sudah memperbaiki kekurangan yang jelas ketara ketika beraksi di Eropah, sebelum ini.

"Kita sudah bekerja keras dalam persiapan ke kejohanan ini dan nampak mereka sudah mempertingkatkan kekurangan berbanding ketika di Eropah. Nampak ada perkara yang baik," kata legenda beregu lelaki Indonesia itu.

Ujarnya, kekalahan yang dicatatkan pasangan nombor satu negara itu semalam adalah disebabkan masalah dari segi membuat keputusan dan dilihat kurang bersedia.

"Mereka tersalah membuat percaturan ketika ingin membalas pukulan lawan, ia menyebabkan mereka hilang fokus dan ia mula terjadi di set kedua.

"Aksi pada set pertama sudah bagus, cuma bila memasuki set kedua mereka kurang tegas dalam membuat keputusan, tidak berani berdepan tekanan lawan.

"Kita dapat lihat sendiri lawan tidak mahu beraksi di depan jaring, sebaliknya berminat untuk bermain jauh," kata Rexy.

Mengenai beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, beliau berpuas hati selepas pasangan itu dapat mengalahkan pilihan ketujuh dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun di pusingan pertama sebelum tumpas kepada pasangan Indonesia, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti 21-23, 21-18, 15-21, semalam.

"Ini satu proses buat mereka untuk mengawal situasi di dalam gelanggang selepas kalah kepada Praveen-Melati.

"Mereka harus meneruskan kerja dan semua pihak termasuk pemain serta barisan kejurulatihan harus mempunyai pemikiran sama," kata Rexy.

Hanya dua pasangan profesional mara ke suku akhir, hari ini, selepas beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi mengatasi pasangan Jepun, Ayato Endo-Yuta Takei 10-21, 21-15, 22-20, manakala beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai mengalahkan wakil China, Chen Xing-Chen Fang Hui 12-21, 22-20, 21-15.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2023 @ 5:01 PM