REXY nampak Pearly, Thinaah tetap bermotivasi tinggi dan kekal positif. FOTO NSTP
REXY nampak Pearly, Thinaah tetap bermotivasi tinggi dan kekal positif. FOTO NSTP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky percaya semangat beregu utama wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah sudah kembali pulih selepas mengharungi kempen mengecewakan pada Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, minggu lalu.

Pearly-Thinaah terlepas peluang untuk memenangi pingat pada kejohanan berprestij itu apabila tewas kepada beregu keenam dunia dari China, Zheng Shu Xian-Zheng Yu.

Apa yang menambah kecewa pasangan negara itu ialah pada satu ketika mereka di ambang kemenangan namun akhirnya terpaksa akur tewas 21-17, 17-21, 19-21.

"Mereka (Pearly-Thinaah) kecewa ketika kekalahan di Kejohanan Dunia tetapi semuanya kembali normal selepas itu. Mereka menjalani latihan seperti biasa dan teruja untuk beraksi di Terbuka China.

"Apa yang saya nampak, mereka tetap bermotivasi tinggi dan kekal positif untuk menghadapi kejohanan seterusnya ini," kata Rexy.

Pearly-Thinaah yang kini menduduki ranking ke-11, akan membuka tirai saingan menentang pasangan Belanda yang menduduki ranking ke-32 dunia, Debora Jille-Cheryl Seinen di pusingan pertama.

Jika menang, mereka dijangka berdepan ujian getir apabila diramal bertemu pilihan kelima kejohanan dari Jepun, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota di pusingan kedua.

Untuk rekod, kedua-dua pasangan pernah bertemu sebanyak enam kali dan Pearly-Thinaah memenangi tiga daripadanya dengan pertemuan terakhir di Masters Malaysia, Mei lalu memihak kepada pasangan negara.

Sementara itu, Rexy mengakui tidak banyak persiapan yang dapat dilakukan barisan pemain beregu negara bagi menghadapi Terbuka China kali ini berikutan tempoh singkat selepas pulang daripada Kejohanan Dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2023 @ 8:01 PM