ZII Jia ketika menentang Kean Yew. FOTO BAM
ZII Jia ketika menentang Kean Yew. FOTO BAM
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: "Saya minta maaf kerana ia berakhir seperti ini." Demikian reaksi kecewa jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia yang terpaksa menarik diri ketika bertemu pemain Singapura, Loh Kean Yew pada final Terbuka Hylo awal pagi tadi.

Jelas pemain nombor lapan dunia itu, dia tiada pilihan selain terpaksa menarik diri berikutan kecederaan belakang dan terpaksa akur dengan kekalahan 21-19, 13-21, 12-17 iaitu kekalahan kali kedua di tangan lawan kelahiran Pulau Pinang itu selepas turut tewas di pusingan pertama Terbuka Perancis, minggu lalu.

"Saya berasa lebih baik hari ini. Tetapi mengambil kira kejohanan seterusnya serta keadaan badan saya, saya tidak mempunyai pilihan lain selain menarik diri daripada perlawanan itu.

"Saya sentiasa percaya mampu melakukan lebih baik tetapi saya minta maaf kerana ia berakhir seperti ini. Ia juga menggambarkan betapa pentingnya pasukan sokongan untuk membantu saya mengekalkan prestasi dalam kejohanan peringkat tertinggi ini. "Terima kasih atas segala doa dan sokongan daripada semua. Saya harap dapat meneruskan perjuangan ini dengan berusaha sebaik mungkin," katanya.

Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan berkata, jika Zii Jia belum pulih sepenuhnya, anak buahnya itu mungkin akan menarik diri daripada saingan Masters Indonesia. Sebelum beraksi di Terbuka Hylo dan Perancis, Zii Jia turut beraksi dalam saingan Piala Sudirman, Piala Thomas dan Terbuka Denmark.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 7:42 PM