Aksi pemain Denmark, Viktor Axelsen ketika berdepan pemain China, Shi Yuqi dalam saingan suku akhir acara badminton perseorangan lelaki Sukan Olimpik Tokyo. FOTO AFP
Aksi pemain Denmark, Viktor Axelsen ketika berdepan pemain China, Shi Yuqi dalam saingan suku akhir acara badminton perseorangan lelaki Sukan Olimpik Tokyo. FOTO AFP
AFP

Tokyo: Pemain badminton nombor dua dunia, Viktor Axelsen dari Denmark mara ke peringkat separuh akhir Olimpik dalam acara lelaki perseorangan hari ini, namun rakan senegara, Anders Antonsen gagal menyertainya.

Axelsen menewaskan pemain China, Shi Yuqi 21-13, 21-13 untuk bertemu pemain ranking 59 dunia dari Guatemala, Kevin Cordon, yang meneruskan kisah dongeng selepas menewaskan pemain Korea Selatan, Heo Kwang-hee, 21-13, 21-18.

Tetapi Antonsen terkandas di suku akhir ke atas pemain Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting, 21-18, 15-21, 21-18.

Ginting akan berdepan bintang China, Chen Long dalam kelompok empat terakhir selepas juara bertahan itu menewaskan pemain nombor empat dunia, Chou Tien-chen dari Taiwan, 21-14, 9-21, 21-14.

Axelsen tidak berdepan masalah apabila mengatasi pemain nombor 11 dunia Shi ketika menamatkan perlawanan hanya dalam masa 41 minit.

"Berjaya mencatat kemenangan membuatkan saya lebih selesa dan perasaan yang ada di gelanggang adalah dua perkara berbeza," kata Axelsen, pemain pilihan kejohanan selepas pemain nombor satu dunia, Kento Momota mencatat kekalahan mengejut pada awal saingan.

"Dia sememangnya pemain bertaraf dunia jika anda membenarkan dia beraksi dengan permainannya. Saya tahu saya perlu menguasai, saya perlu bermain dengan aksi yang betul, jika tidak ia pasti sukar buat saya."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Julai 2021 @ 7:14 PM