PEMAIN Denmark, Viktor Axelsen menewaskan pemain Taiwan, Wang Tzu-Wei, hari ini untuk mara ke suku akhir badminton perseorangan lelaki di Tokyo 2020. FOTO EPA
PEMAIN Denmark, Viktor Axelsen menewaskan pemain Taiwan, Wang Tzu-Wei, hari ini untuk mara ke suku akhir badminton perseorangan lelaki di Tokyo 2020. FOTO EPA
AFP

Tokyo: Pemain badminton nombor satu dunia, Kento Momota akan bangkit semula selepas tersingkir awal di Tokyo 2020, kata jaguh Denmark, Viktor Axelsen, hari ini, yang menyifatkan tekanan hebat terpaksa dipikul bintang Jepun itu.

Momota tersingkir di pusingan pertama, semalam, selepas tewas kepada pemain bukan pilihan dari Korea Selatan, Heo Kwang-hee yang menamatkan impian memburu pingat emas selepas hanya dua perlawanan.

Momota melangkah ke Tokyo 2020 dengan memikul harapan tinggi peminat tuan rumah, sekali pun kurang bermain aksi kompetitif sejak pulih daripada kemalangan kereta yang nyaris meragut kariernya pada Januari 2020.

Axelsen melangkah ke suku akhir perseorangan lelaki selepas menang 21-16, 21-14 ke atas pemain Taiwan, Wang Tzu-Wei, hari ini dan dia melahirkan simpati terhadap Momota.

"Saya tidak fikir ramai menjangkakannya, tetapi kita harus menghormati apa yang dilalui Momota sejak dua tahun kebelakangan ini," kata Axelsen yang juga pemain nombor dua dunia.

"Terlalu banyak tekanan buatnya di sini. Jika menang perlawanan pertama, dia mungkin lebih tenang dan akan terus melangkah di kejohanan ini. Sudah pasti, dia akan bangkit semula."

Selepas tersingkir, Momota mengakui tekanan dalam penampilan pertama ke Sukan Olimpik terlalu berat untuk ditanggungnya.

Momota bukannya pemain berprofil tinggi tunggal yang tersingkir di pusingan pertama.

Pilihan kelapan, Angus Ng Ka-long dari Hong Kong disingkirkan pemain nombor 59 dunia, Kevin Cordon, manakala pilihan kedua dari Taiwan, Chou Tien-Chen tewas kepada pemain remaja bukan pilihan, Brian Yang.

"Saya fikir, situasi ini berlaku kerana ini Sukan Olimpik pertama buat ramai pemain," kata Axelsen yang menang gangsa di Rio 2016.

"Mereka mungkin mahu turun dan membuktikan sesuatu dengan mendapat keputusan baik apabila bermain untuk negara. Tetapi, saya hanya tenang dan menikmati setiap perlawanan."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 11:00 PM