Pemain perseorangan wanita negara, S Kisona. FOTO Ihsan BAM
Pemain perseorangan wanita negara, S Kisona. FOTO Ihsan BAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan wanita negara S Kisona mengakui persembahannya pada Kejohanan Badminton Antarabangsa Sepanyol 2021 masih lagi jauh daripada tahap sebenar.

Walaupun muncul juara perseorangan wanita pada kejohanan itu, namun dia mengakui banyak 'kerja rumah' perlu dilakukan jika mahu berada pada tahap atau level yang tinggi.

Katanya, dia akan mengadakan perbincangan bersama jurulatih bagi mengenalpasti kelemahan untuk beraksi lebih baik kejohanan akan datang.

"Perlawanan menentang rakan sepasukan, kami sudah melakukan yang terbaik dan sudah lama tidak bertembung antara satu sama lain.

"Saya hanya fikir untuk pamerkan aksi terbaik dan akan bincang dengan jurulatih kerana ada banyak kelemahan perlu diperbaiki jika mahu bertanding di peringkat lebih tinggi.

"Persembahan ketika ini, saya lihat agak sukar untuk berada di peringkat lebih tinggi dan akan bincang dengan jurulatih untuk memperbaiki lagi prestasi," katanya.

Terdahulu Kisona muncul juara Kejohanan Badminton Antarabangsa Sepanyol 2021 selepas menewaskan rakan senegara, Goh Jin Wei di La Nucia.

Dia yang kembali selepas berehat sebentar untuk memperbaiki prestasinya, menewaskan bekas juara remaja dunia dua kali 21-14, 21-19 dalam aksi yang berlangsung 31 minit.

Ia adalah kemenangan kedua Kisona ke atas Jin Wei selepas mengatasi pemain kelahiran Pulau Pinang itu pada kejohanan Masters Thailand.

Terdahulu, pada peringkat separuh akhir, Kisona menyingkirkan pemain Perancis, Yaelle Hoyaux 21-18, 21-10, manakala Jin Wei mengenepikan seorang lagi pemain negara, Eoon Qi Xuan 21-17, 21-11.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Jun 2021 @ 7:50 PM