DOWSETT meraikan kemenangannya selepas melepasi garisan penamat. FOTO AFP
DOWSETT meraikan kemenangannya selepas melepasi garisan penamat. FOTO AFP
AFP

Vieste: Pelumba British, Alex Dowsett melakukan gerakan solo melepasi kumpulan besar untuk memenangi peringkat perlumbaan kelapan Giro d'Italia manakala pelumba Portugal, Joao Almeida mengekalkan jersi merah jambu selaku pendahulu keseluruhan.

Simon Yates menarik diri sebelum bermulanya perlumbaan selepas muncul pelumba pertama didapati positif Covid-19 di kejohanan itu.

Dowsett turut memberikan pasukan Israel Start-Up Nation kemenangan pertama peringkat perlumbaan di kejohanan Jelajah Dunia.

Pelumba berusia 32 tahun itu melepasi garisan penamat lebih seminit daripada pelumba Itali, Salvatore Puccio dari pasukan Ineos dan pelumba Britain, Matthew Holmes (WorldTeam Lotto) selepas mengharungi cabaran sejauh 200 kilometer (km) dari Giovinazzo ke Vieste.

"Saya tak tahu apa lagi yang hendak diperkatakan. Saya amat memerlukan kemenangan ini pada tahun yang cukup sukar.

"Saya masih tidak mempunyai kontrak pada tahun depan dan dengan bakal menimang cahaya mata pada Januari, saya amat memerlukan keputusan seperti ini.

"Sehingga sekarang saya seolah masih tidak mempercayainya," katanya yang melakukan gerakan solo ketika saingan berbaki 20km.

Almeida yang beraksi bersama pasukan Deceuninck, menamatkan saingan di kedudukan ke-17, hampir 14 minit di belakang Dowsett untuk mengekalkan jersi merah jambu.

"Kami akan terus kekal fokus. Saingan seterusnya pasti lebih sukar," kata Almeida.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Oktober 2020 @ 12:18 PM