Bernal (tengah) sandaran pasukan Ineos di Giro d’Italia. FOTO Agensi
Bernal (tengah) sandaran pasukan Ineos di Giro d’Italia. FOTO Agensi
AFP

Paris: Bekas juara Tour de France, Egan Bernal akan berkongsi tugas sebagai ketua pasukan bersama Pavel Sivakov pada penampilan pertamanya di Giro d'Italia bersama Ineos ketika pasukan itu mengumumkan penyertaan lapan pelumbanya di jelajah berkenaan.

Bernal, 24, adalah antara pelumba pilihan di Giro dan dibantu rakan senegara dari Colombia, Daniel Martinez pada perlumbaan selama tiga minggu yang bermula di Turin pada Sabtu ini.

Ineos memilih tiga pelumba Itali, juara ujian masa dunia iaitu Filippo Ganna, Gianni Moscon dan Salvatore Puccio.

Pelumba Sepanyol, Jonathan Castroviejo dan Jhonatan Narvaez dari Ecuador melengkapkan barisan pelumba pasukan itu yang pernah menang dua daripada tiga edisi Giro sebelum ini.

Chris Froome menjuarainya pada 2018 dengan Tao Geoghegan Hart menguasai saingan tahun lalu.

Martinez menang Criterium du Dauphine musim lalu sementara pelumba Russia, Sivakov menduduki tempat kesembilan di Giro ketika penampilan pertamanya pada 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Mei 2021 @ 9:38 AM