Pelumba Britain, Adam Yates gagal meneruskan perlumbaan di Itali. FOTO File Agensi
Pelumba Britain, Adam Yates gagal meneruskan perlumbaan di Itali. FOTO File Agensi
AFP

Giovinazzo, Itali: Pelumba British, Simon Yates menarik diri daripada Giro d'Italia selepas diuji positif Covid-19, menurut pasukannya Mitchelton-Scott.

Yates yang memimpin pasukan dan memenangi perlumbaan Vuelta pada 2018, berada di kedudukan ke-21 keseluruhan sebelum saingan peringkat kelapan.

Dia menjadi pelumba pertama didapati positif di perlumbaan jelajah utama itu selepas empat kes dikesan antara ahli pasukan - tiada dikalangan mereka yang bersaing - ketika Tour de France.

"Keadaan kesihatan Simon kekal menjadi keutamaan kami dan kami bernasib baik kerana dia mempunyai beberapa simptom. Begitupun, dia berada dalam keadaan kesihatan yang baik." kata doktor pasukan, Matteo Beltemacchi.

Yates didapati positif selepas menunjukkan tanda demam. Ujian kedua dijalankan mengesahkan keputusan positif.

Pelumba berusia 28 tahun itu, kini menjalani kuarantin di biliknya dan sentiasa berada di bawah pemantauan pasukan kesihatan sepanjang tempoh berkenaan.

Pasukan itu memberitahu kesemua pelumbanya yang lain diuji negatif dan dibenarkan untuk mengambil bahagian dalam perlumbaan.

"Kesemua pelumba dan staf yang lain diuji negatif dan dibenarkan untuk menyambung perlumbaan namun sebagai langkah berjaga-jaga kami akan memantau situasi dengan lebih dekat dan meneruskan ujian pada hari berikutnya," tambah Beltemacchi.

Yates berada di posisi ke-21 keseluruhan dalam perlumbaan dengan hanya tiga minit 52 saat di belakang pendahulu, Joao Almeida dari Portugal selepas peringkat ketujuh ke Brindisi.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Oktober 2020 @ 8:02 PM