LEWANDOWSKI meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan, Alvaro Odriozola. FOTO AFP
LEWANDOWSKI meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan, Alvaro Odriozola. FOTO AFP
AFP

BAYERN Munich yang sedang memburu kejuaraan ketiga, melangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara bertemu Barcelona di Lisbon selepas Robert Lewandowski meledak dua gol untuk membantu kelabnya melakar kemenangan 4-1 ke atas Chelsea di tempat sendiri pada aksi timbal balik pusingan kedua, hari ini.

"Barcelona adalah pasukan yang bagus dengan barisan pemain terbaik. Tapi jika anda melihat kepada prestasi kami sejak beberapa minggu lalu, kami sepatutnya boleh terbang ke Portugal dengan keyakinan tinggi," kata pertahanan Bayern, David Alaba.

Lewandowski yang juga penjaring terbanyak Liga Juara-Juara, meraih gol ke-12 dan ke-13 di Eropah musim ini selain menjadi watak penting kepada kesemua gol Bayern di Munich.

Mendahului 3-0 pada aksi pertama di Stamford Bridge Februari lalu sebelum saingan ditangguhkan berikutan pandemik Covid-19, Bayern melangkah ke suku akhir dengan agregat 7-1.

"Kami boleh meraikan kejayaan ini. Ia adalah perlawanan pertama selepas sebulan dan bukan mudah untuk mendapatkan rentak permainan.

"Kami sudah melakukan persediaan sejak dua minggu lalu dan anda dapat melihat hasilnya," kata Alaba.

Juara Bundesliga dan Piala Jerman itu akan bertemu Barcelona 15 Ogos ini di Lisbon untuk merebut tempat ke separuh akhir.

Lewandowski menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-10 sebelum pemain sayap, Ivan Perisic menambah gol kedua minit ke-24 tetapi penyerang England, Tammy Abraham merapatkan jurang untuk Chelsea minit ke-44.

Bagaimanapun pemain gantian, Corentin Tolisso terus mengukuhkan kedudukan Bayern dengan gol ketiga ketika perlawanan berbaki 14 minit sebelum Lewandowski sekali lagi menggegar gawang lawan minit ke-83.

"Saya sangat gembira dengan cara kami beraksi sepanjang 90 minit permainan. Tempoh 30 minit pertama kami mematikan langkah Chelsea," kata ketua jurulatih Bayern, Hansi Flick.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2020 @ 7:43 AM