ROBERT Lewandowski. FOTO AFP
ROBERT Lewandowski. FOTO AFP
Agensi

Barcelona: Barcelona akhirnya mencapai persetujuan untuk mendapatkan penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski dengan harga sekitar £42.5 juta (RM224.2 juta).

Kelab bimbingan Xavi memburu bintang Poland itu sepanjang musim panas dan akhirnya bakal mendapatkannya selepas kedua-dua kelab bersetuju dengan yuran perpindahan pemain itu.

Lewandowski yang dianggap sebagai salah satu penyerang terbaik di dunia, dijangka menandatangani perjanjian selama tiga tahun di Nou Camp.

Barcelona berharap dapat menyelesaikan urusan perpindahan itu, esok.

Lewandowski sudah menyatakan hasratnya untuk meninggalkan Bayern, kelab yang diwakilinya sejak lapan musim lalu kerana inginkan cabaran baharu.

Dia dilihat masih menjalani latihan bersama Bayern walaupun sudah menyatakan hasrat untuk meninggalkan kelab itu.

Pemain berusia 33 tahun itu menjaringkan 50 gol sepanjang 46 penampilan musim lalu.

Lewandowski berada dalam senarai pendek untuk anugerah Ballon d'Or bagi kempen 2019-20 selepas meledak 55 gol daripada 47 perlawanan, tetapi tidak bernasib baik apabila majlis itu dibatalkan kerana pandemik Covid-19.

Pada Musim berikutnya, dia menjaringkan 48 gol tetapi kali ini tewas kepada Lionel Messi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2022 @ 10:31 AM