LEWANDOWSKI terpaksa direhatkan selama empat minggu. FOTO AFP
LEWANDOWSKI terpaksa direhatkan selama empat minggu. FOTO AFP
AFP

Berlin: Thomas Mueller mengakui kecederaan lutut Robert Lewandowski adalah berita buruk buat Bayern Munich yang memerlukan khidmatnya menjelang perlawanan menentang RB Leipzig dan aksi suku akhir Liga Juara-Juara menentang Paris Saint-Germain.

Penyerang Poland itu diketepikan selama empat minggu selepas mengalami kecederaan ligamen di lutut kanan Ahad lalu ketika pusingan kelayakan Piala Dunia.

Bayern kini mendahului pasukan di tangga kedua Leipzig dengan empat mata dalam usaha mereka untuk merangkul gelaran Bundesliga yang kesembilan berturut-turut.

"Kecederaan pada 'Lewy' adalah berita pahit buat kami. Ia adalah masa yang terburuk," kata penyerang Bayern, Mueller.

"Jadi, semua perlu melangkah untuk pertemuan genting itu."

Statistik menunjukkan Lewandowski adalah watak penting buat Bayern.

Penyerang berusia 32 tahun itu meledakkan 35 gol dalam 26 perlawanan liga dan semakin menghampiri rekod Gerd Mueller yang menjaringkan 40 gol dalam aksi semusim Bundesliga.

Lewandowski akan turut terlepas aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara menentang PSG di Munich, Rabu ini dan aksi timbal balik kedua pada 13 April.

Sekiranya juara bertahan itu berjaya mara, Lewandowski perlu berlawan dengan masa untuk kembali cergas jika ingin beraksi di separuh akhir yang akan menemukan sama ada Manchester City atau Borussia Dortmund pada 28 April.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 April 2021 @ 12:49 PM