WTA mengesahkan kejohanan berkenaan akan berlangsung seperti yang dijadualkan. FOTO Agensi
WTA mengesahkan kejohanan berkenaan akan berlangsung seperti yang dijadualkan. FOTO Agensi
AFP

SEORANG pemain diuji positif Covid-19 di Terbuka Palermo dan perkara itu disahkan sendiri Persatuan Tenis Wanita (WTA) dan penganjur semalam.

Terbuka Palermo menandakan bahawa saingan tenis musim ini disambung semula selepas lima bulan tertangguh.

Pemain berkenaan yang tidak mempunyai sebarang simptom menarik diri hanya beberapa minit sebelum saingan kelayakan bermula hujung minggu ini.

Nama pemain berkenaan tidak didedahkan namun selepas pengumuman kes itu pemain ranking 130 dari Bulgaria, Viktoriya Tomova yang sepatutnya mengambil bahagian dalam saingan kelayakan menarik diri akibat masalah kesihatan.

"Keberkesanan protokol dan berkaitan dengan pengawalan membolehkan kami mengesan dengan cepat kes positif membabitkan pemain yang tiba di Palermo.

"Pemain sama, yang menunggu keputusan ujian, diingatkan supaya kekal di bilik hotel mereka," kata Konsultan Anti Covid Kejohanan, Profesor, Antonio Cascio.

WTA mengesahkan kejohanan berkenaan akan berlangsung seperti yang dijadualkan.

"Selain itu, mereka yang mempunyai kontak rapat dengan individu berkenaan juga akan menjalani ujian mengikut protokol WTA," jelas WTA.

Terbuka Palermo menjadi kejohanan pertama bagi sirkit tenis sejak ia ditangguhkan awal Mac lalu.

Kalendar saingan musim ini agak berkecamuk selepas penangguhan Terbuka Perancis dan pembatalan Wimbledon.

Juara Wimbledon, Simona Halep dijadualkan untuk mengambil bahagian di Palermo namun pemain nombor dua dunia itu menarik diri selepas pihak berkuasa Itali mengenakan kuarantin selama 14 hari kepada mereka yang datang dari Romania serta Bulgaria.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2020 @ 11:01 AM