Presiden Fifa, Gianni Infantino. FOTO Agensi
Presiden Fifa, Gianni Infantino. FOTO Agensi
Firdaus Hashim


PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) mengesyorkan supaya kejohanan belia peringkat umur anjuran Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) dipertandingkan setiap tahun berbanding secara dwitahunan ketika ini.

Menerusi mesyuarat secara maya dengan Presiden Fifa, Gianni Infantino semalam, Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin menyatakan cadangannya itu bagi membolehkan pemain muda mendapatkan aksi lebih kompetitif sepanjang tahun.

"Saya juga mencadangkan kejohanan belia di bawah naungan Fifa diadakan setiap tahun supaya setiap peringkat umur berpeluang beraksi dalam perlawanan kompetitif menerusi proses kelayakan dan pusingan akhir.

"Infantino membalas bahawa perkara ini sentiasa dalam perbincangan bersama Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan ia bergantung kepada situasi semasa ketika ini terutama selepas bulan Oktober," kata Hamidin.

Hamidin mengadakan mesyuarat secara maya. FOTO FAM
Hamidin mengadakan mesyuarat secara maya. FOTO FAM

Ketika ini, saingan Piala Dunia Remaja membabitkan peringkat B-17 dan B-20 dijalankan dua tahun sekali.

Dalam mesyuarat yang diadakan di antara Infantino dan semua presiden negara anggota Fifa dari zon Asean itu, beliau turut meminta badan induk dunia berkenaan menimbangkan membuka lebih banyak slot jawatankuasa tetap Fifa.

"Memandangkan Fifa mempunyai 211 negara anggota, saya mencadangkan agar Fifa membuka pintu kepada lebih ramai wakil negara anggota untuk dilantik menganggotai sembilan jawatankuasa tetap Fifa.

"Infantino menyambut baik cadangan ini dan mengatakan akan mengadakan dialog lebih terperinci berhubung perkara ini pada masa akan datang," katanya.

Selain itu, mesyuarat berkenaan turut membincangkan situasi luar jangkaan berhubung wabak Covid-19 dan Fifa tetap menekankan kesihatan semua pihak kekal menjadi keutamaan nombor satu dalam mendepani isu berkenaan.

"Infantino menggesa semua pihak perlu bekerjasama dalam mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) bola sepak yang ditetapkan negara masing-masing.

"Semua pihak perlu berhati-hati kerana setiap negara berdepan cabaran berbeza dalam mengekang Covid-19.

"Industri bola sepak seluruh dunia menerima impak Covid-19, maka penting buat kita dan setiap 211 negara dalam gabungan Fifa memastikan tiada rantaian baru membabitkan bola sepak."

Wakil setiap negara anggota Asean seramai 11 orang dan Australia memberi gambaran dan penjelasan terperinci perihal status Covid-19 di negara masing-masing dan Hamidin menyatakan kepada Infantino bahawa Liga Malaysia dijadualkan bermula 26 Ogos ini.

Hamidin dijadual menyertai Kongres Fifa ke-70 secara maya pada 18 September nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2020 @ 3:14 PM