PRESIDEN Fifa, Gianni Infantino, FOTO Reuters
PRESIDEN Fifa, Gianni Infantino, FOTO Reuters
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa), Gianni Infantino memuji inisiatif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membangunkan sukan nombor satu dunia itu di negara ini.

Fifa menerusi kenyataannya memaklumkan, pihaknya akan terus bekerjasama bersama badan induk bola sepak negara itu untuk membincangkan dan mengenal pasti peluang untuk pembangunan berterusan bola sepak.

Infantino berkata, FAM secara aktifnya terbabit dengan program 'Foward Fifa' iaitu satu mekanisme apabila Fifa membahagikan dana kepada 211 ahli persatuannya bagi projek pembangunan bola sepak.

"Sentiasa suatu yang baik untuk meluangkan masa bersama rakan dari FAM yang menjadi contoh baik secara berterusan bersama-sama dalam program Foward Fifa, yang mampu memberikan impak mendalam dalam pembangunan bola sepak.

"Pertemuan hari ini memberi peluang baik untuk melihat kembali banyak perkara yang kami capai bersama dan melihat ke hadapan untuk apa lagi yang boleh kami lakukan pada masa akan datang," katanya.

Program dinyatakan Infantino itu termasuklah sokongan berterusan futsal dan liga bola sepak wanita di Malaysia, serta pengubahsuaian ibu pejabat dan pusat latihan FAM baru-baru ini.

Ia termasuk padang rumput dengan lampu limpah dan naik taraf gelanggang futsal ahli persatuan.

Sementara itu, Presiden FAM, Datuk Hamidin Amin berkata, pertemuan bersama presiden Fifa itu memberi banyak pengertian dalam usaha membangunkan bola sepak tanah air.

"Ia satu pertemuan amat bermakna. Pertamanya Infantino sebagai Presiden Fifa sentiasa menerima dan mengalu-alukan kesemua presiden persatuan, jika ada yang diperlukan untuk bertemu dan perbincangan penting hari ini ialah mengenai program 'Foward Fifa 3.0'," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2023 @ 8:42 PM