HAMIDIN (kanan) menyerahkan jersi Harimau Malaya kepada Seri Paduka Baginda. FOTO FB FAM
HAMIDIN (kanan) menyerahkan jersi Harimau Malaya kepada Seri Paduka Baginda. FOTO FB FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mendapat jemputan Fifa bagi menyaksikan aksi separuh akhir dan final Piala Dunia di Qatar ketika ini.

Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin kini sudah berada di Qatar bagi memenuhi jemputan Presiden Fifa, Gianni Infantino.

Di samping itu, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Hamidin yang turut mempersembahkan jersi Harimau Malaya yang baharu.

Hamidin menghadap Seri Paduka Baginda selaku peminat nombor satu sukan bola sepak.

Dalam sesi yang berlangsung selama 30 minit itu, Seri Paduka Baginda dan Hamidin turut menyentuh mengenai kepentingan hubungan dua hala Malaysia dengan negara luar terutama negara ahli Fifa.

Seri Paduka Baginda berkenan berangkat ke Doha, Qatar bagi mengadakan lawatan khas selama enam hari, bermula Selasa lalu.

Lawatan khas itu juga adalah atas persilaan peribadi Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani, sempena temasya Piala Dunia Qatar 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2022 @ 1:02 PM