LUQMAN terlepas latihan pusat fasa pertama apabila mempunyai komitmen bersama Selangor 2. FOTO Aziah Azmee
LUQMAN terlepas latihan pusat fasa pertama apabila mempunyai komitmen bersama Selangor 2. FOTO Aziah Azmee
Syazwan Msar


SESI latihan fasa kedua skuad bawah 19 tahun (B-19) ternyata lebih meriah dengan kehadiran penyerang sensasi pasukan berkenaan Luqman Hakim Shamsudin yang dijangka menyertai sesi latihan fasa kedua yang bermula 3 Ogos depan.

Menerusi kenyataan rasmi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Luqman bersama dua lagi pemain baharu iaitu penjaga gol, Ahmad Irfan Ibrahim dari Terengganu FC dan pemain tengah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Ziad Al Basheer Norhisham dijangka membuat kemunculan pada sesi latihan terbabit.

Luqman yang akan beraksi bersama KV Kortrijk di Belgium terlepas latihan pusat fasa pertama apabila mempunyai komitmen bersama Selangor 2.

Seramai 26 pemain daripada senarai 35 pemain yang dipanggil pada kem latihan pusat Fasa 1 dipanggil semula untuk mengikuti kem latihan pusat fasa dua ini.

Selain itu, adik kepada Wan Kuzain Wan Kamal iaitu Wan Kuzri yang kini menimba pengalaman bersama Akademi Bolasepak St Louis di Amerika Syarikat disahkan akan menyertai latihan fasa kedua terbabit.

Wan Kuzri sebelum ini, dikatakan kemungkinan terlepas menyertai latihan sesi kedua apabila terpaksa pulang semula ke pangkuan kelabnya sekali gus membayangkan agak sukar menyertai kem terbabit.

Skuad bimbingan Brad Maloney akan membuka tirai saingan Kumpulan D bertemu Tajikistan seterusnya aksi kedua menentang Qatar dan berdepan Yemen pada perlawanan terakhir yang akan dijadualkan berlangsung di Stadium AGMK, Olmalik, Uzbekistan.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan (8 pasukan) seterusnya akan layak ke suku akhir dan jika Malaysia berjaya muncul juara Kumpulan D, lawan adalah naib juara Kumpulan C (Arab Saudi, Australia, Vietnam atau Laos) dan jika Malaysia naib juara Kumpulan D, lawan adalah juara Kumpulan C (Arab Saudi, Australia, Vietnam atau Laos).

Seterusnya, empat pasukan yang berjaya melangkah ke separuh akhir asecara automatik layak ke Piala Dunia B-20 2021 di Indonesia.

Namun jika Indonesia menjadi salah satu pasukan yang ke separuh akhir, maka satu lagi slot tambahan akan diberikan yang mana ia akan direbut oleh empat pasukan yang kalah pada suku akhir menerusi perlawanan playoff.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2020 @ 8:46 PM