Brad Maloney (kanan) memberi arahan kepada pemainnya ketika sesi latihan. FOTO FAM
Brad Maloney (kanan) memberi arahan kepada pemainnya ketika sesi latihan. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengendali skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Brad Maloney mengharapkan perancangan untuk mengadakan aksi persahabatan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada bulan depan mendapat respon positif.

Katanya, barisan kejurulatihan negara sedang bertungkus lumus mencari pasukan lawan untuk menguji anak buahnya sebagai persediaan terakhir sebelum mengharungi aksi Kumpulan J dalam Kelayakan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di Mongolia dari 27-31 Oktober ini.

"Kita akan berlatih kembali (fasa kedua latihan pusat) pada pertengahan bulan depan sebelum bertolak ke UAE.

"Di sana (UAE) akan diadakan sekurang-kurangnya dua aksi persahabatan untuk menguji pasukan negara. Saya tak dapat nak sahkan pasukan mana kerana kita masih dalam peringkat rundingan.

"Bila semuanya dah dapat pengesahan, saya akan maklumkan. Cuma sekarang fokus kita untuk menyediakan pelan latihan yang terbaik buat pasukan sebelum ke Mongolia nanti," katanya kepada Arena Metro.

Skuad negara dijadual terus ke Mongolia selepas berakhirnya kem latihan di UAE.

Di pusingan kelayakan itu, Malaysia diletakkan bersama tuan rumah Mongolia, Laos dan Thailand, di mana hanya juara dan empat pasukan terbaik daripada lapan kumpulan sahaja akan layak automatik ke pusingan akhir di Uzbekistan, tahun depan.

Sebelum ini, Maloney sudah mengadakan kem latihan fasa satu bermula dari 31 Ogos hingga 7 September lalu dengan hanya membabitkan pemain-pemain tempatan.

Pada fasa kedua nanti, dijangka pemain yang berpangkalan di luar negara seperti Luqman Hakim Shamsudin, Wan Kuzri Wan Kamal dan V Annil akan dipanggil untuk memperkukuhkan kekuatan pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 5:22 PM