BRAD Maloney (kanan) ketika sesi latihan di padang Wisma FAM. FOTO Aswadi Alias
BRAD Maloney (kanan) ketika sesi latihan di padang Wisma FAM. FOTO Aswadi Alias
Firdaus Hashim


SKUAD bawah 19 (B-19) tahun negara bakal mengadakan satu atau dua aksi persahabatan dalam masa terdekat bagi menguji kemampuan pemain sebelum menamakan beberapa pemain untuk di bawa ke latihan pusat fasa kedua selepas ini.

Pengendali pasukan, Brad Maloney berkata, lampu hijau yang diberikan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengadakan latihan secara kontak penuh amat dinantikan-nantikan oleh anak buahnya yang sebelum ini sekadar menjalani latihan secara tanpa kontak sejak 10 hari lalu.

Katanya, kebenaran berlatih secara sentuhan akan membolehkan beliau dan barisan kejurulatihan merangka beberapa aksi persahabatan sebagai medan menguji kemampuan pemain.

Bagaimanapun, ia masih diperingkat perbincangan dan tidak menolak kemungkinan menentang pasukan tempatan.

"Ia kita dalam perbincangan untuk lakukan aksi persahabatan. Tapi dalam peringkat perbincangan dan kita sedang meneliti opsyen yang ada.

"Ia mungkin (pasukan tempatan) dan macam saya katakan, ia sedang dipertimbangkan," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di sini.

Ketika ini, skuad muda negara sedang melakukan persiapan fasa pertama menjelang Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-19 di Uzbekistan pada 14-31 Oktober ini.

Dalam fasa ini, seramai 35 pemain dipanggil dengan separuh daripadanya adalah muka baharu manakala beberapa tonggak utama seperti penyerang sensasi, Luqman Hakim Shamsudin hanya akan menyertai latihan pada fasa kedua kelak.

Mengulas ketiadaan pemain yang berpengkalan di Amerika Syarikat, Wan Kuzri Wan Kamal dalam latihan hari ini, beliau menjelaskan keputusan ujian calitan kedua adik kepada Wan Kuzain itu masih belum diperolehi.

"Dia (Kuzri) mungkin akan sertai latihan esok kerana keputusan ujian calitan belum keluar lagi. Saya jangka esok dia akan bersama pasukan dan kita akan melihatnya nanti," katanya.

Malaysia mara ke pusingan akhir Kejuaraan AFC selepas mengungguli peringkat kelayakan yang berlangsung di Kemboja penghujung tahun lalu selepas muncul juara Kumpulan G.

Di Uzbekistan nanti, skuad negara diundi dalam Kumpulan D bersama bekas juara 2014, Qatar selain dua lagi negara yang sedang meningkat naik iaitu Tajikistan dan Yaman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 8:04 PM