Jurulatih skuad bola sepak B-22 kebangsaan, Brad Maloney (tengah) mengendalikan sesi latihan sebelum ini. FOTO File NSTP
Jurulatih skuad bola sepak B-22 kebangsaan, Brad Maloney (tengah) mengendalikan sesi latihan sebelum ini. FOTO File NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pemain Selangor II habis 'diborong' apabila 10 tonggak daripada skuad Liga Perdana itu dipanggil bagi menyertai latihan pusat fasa satu sebagai persediaan skuad bawah 22 (B-22) tahun negara menjelang Kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Mongolia dari 27-31 Oktober ini.

Menerusi senarai nama yang dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini, skuad kendalian Brad Maloney itu akan memulakan kem latihan terbabit secara kuarantin selama sembilan hari di Petaling Jaya, Selangor dari 30 Ogos hingga 7 September ini.

Bagi latihan pusat fasa satu ini, Maloney memanggil seramai 27 pemain dengan majoritinya dari pasukan-pasukan Liga Perdana memandangkan saingan liga divisyen dua kebangsaan itu sedang berehat seketika sepanjang jendela perlawanan antarabangsa Fifa.

Malah, jurulatih berasal dari Australia itu turut menyenaraikan dua pemain dari luar negara iaitu Adam Roshan Kris dari Brook House FC dan Mohamed Amir Faruk yang beraksi dengan Chipstead FC dengan masing-masing berpangkalan di England.

Selain itu, seorang pemain dari skuad Liga Super, Kedah Darul Aman FC, Mohd Aiman Afif menjadi wakil tunggal dari divisyen pertama Liga M dipanggil dalam fasa satu ini.

Namun apa yang mencuri tumpuan sudah pastinya penyenaraian 10 pemain Selangor FC II yang bakal menjadi tulang belakang kepada kekuatan skuad muda negara di pusingan kelayakan itu nanti.

Jelas kenyataan itu lagi, beberapa bintang muda negara yang beraksi di luar negara seperti Luqman Hakim Shamsudin dan Wan Kuzri Wan Kamal serta yang beraksi di Liga Super hanya akan menyertai pasukan pada kem latihan fasa kedua.

"Seterusnya, beberapa lagi pemain lain yang beraksi dalam Liga Super 2021 akan dipanggil menyertai pasukan pada kem latihan pusat fasa dua yang dijadual bermula pada 19 September 2021 iaitu sehari selepas berakhirnya saingan Liga Super 2021 bersama beberapa lagi pemain dari luar negara seperti Luqman Hakim Shamsudin dan Wan Kuzri Wan Kamal," kata kenyataan itu.

Untuk rekod, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan J bersama tuan rumah Mongolia, Laos dan Thailand di mana juara setiap kumpulan akan layak secara automatik ke pusingan akhir di Uzbekistan tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 8:21 PM