Wan Kuzri Wan Kamal
Wan Kuzri Wan Kamal
Firdaus Hashim


PERBEZAAN waktu 14 jam antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) membuatkan pemain muda yang berpangkalan di negara Uncle Sam, Wan Kuzri Wan Kamal banyak menghabiskan masa dengan tidur sebaik tiba di negara ini pada 1 Julai lalu.

Kata Kuzri, dia yang perlu menjalani tempoh kuarantin wajib selama 14 hari di sebuah lokasi di ibu negara mengakui agak sukar untuk menyesuaikan diri dengan perbezaan waktu yang ketara apabila tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Bagaimanapun, semuanya berjaya diatasinya malah dia turut menjalani latihan secara bersendirian bagi memastikan dirinya kekal cergas sebelum menyertai latihan skuad bawah 19 (B-19) tahun negara di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya, Khamis lalu.

"(Tempoh) Kuarantin banyak tidur juga kerana saya cuba untuk menyesuaikan masa dengan keadaan sini kerana perbezaan waktu 14 jam dengan AS.

"Namun selain dari tidur saya juga tetap mengekalkan kecergasan di mana saya melakukan senaman termasuk mengayuh basikal dalam bilik bagi melakukan pergerakan yang banyak. Walaupun kuarantin di dalam rumah, saya berjaya ikuti segala peraturan kuarantin itu," katanya.

Sebelum ini, Kuzri yang juga adik kepada Wan Kuzain yang beraksi bersama kelab Sporting Kansas City di AS itu mula menyertai latihan skuad kendalian Brad Maloney buat kali pertama pada Khamis lalu selepas menjalani proses kuarantin selama 14 hari.

Skuad B-19 negara ketika ini dalam tempoh persiapan menghadapi pusingan akhir Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-19 di Uzbekistan dari 14-31 Oktober ini.

Kuzri yang kini bermain untuk Akademi St Louis mengakui sudah lama menunggu saat untuk hadir ke Malaysia sekali gus cuba memikat perhatian barisan kejurulatihan negara.

"Sememangnya saya sudah lama menunggu saat ini untuk beraksi bersama skuad B-19 negara dan akhirnya saya berpeluang untuk membuktikan kemampuan saya bagi menempatkan diri dalam skuad negara," katanya.

Malah, katanya Kuzain yang pernah menjalani latihan dengan skuad Sukan Sea pada hujung tahun lalu turut memberi tips dan panduan kepadanya untuk sedia menghadapi persaingan sengit bersama pemain lain yang juga memiliki kualiti tersendiri.

"Katanya (nasihat Kuzain), ini peluang saya dan perlu sedia untuk memikat pasukan dan beri aksi terbaik seperti kebiasaan".

Sebagai rekod, abangnya Kuzain menyertai latihan untuk ke temasya Sukan Sea Filipina tahun lalu namun terpaksa digugurkan pada saat akhir ekoran masalah dokumentasi yang gagal disiapkan dalam masa ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Julai 2020 @ 9:34 PM