Wan Ahmad Kuzri (kanan) ketika menjalani latihan pusat skuad B-19 kebangsaan di padang FAM, Kelana Jaya. FOTO Owee Ah Chun
Wan Ahmad Kuzri (kanan) ketika menjalani latihan pusat skuad B-19 kebangsaan di padang FAM, Kelana Jaya. FOTO Owee Ah Chun
Syazwan Msar


PEMAIN muda yang beraksi di Amerika Syarikat, Wan Kuzri Wan Kamal perlu pulang ke pangkuan kelabnya Akademi Bolasepak St Louis hujung bulan ini sekali gus mungkin terlepas menyertai latihan fasa kedua skuad Bawah 19 (B-19) pada 3 Ogos depan.

Pengendali skuad B-19 Brad Maloney berkata, menerusi perjanjian bersama kelab yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu, Wan Kuzri perlu pulang ke Akademi Bolasepak St Louis sebaik latihan fasa pertama tamat.

Beliau berkata, berdasarkan situasi semasa, pemain berkenaan kemungkinan berhadapan dengan pelbagai 'halangan' untuk menyertai latihan fasa kedua apabila perlu menjalani kuarantin selain beberapa masalah lain berikutan penularan Covid-10.

Katanya, perkara terbabit akan dibincangkan bersama adik kepada Wan Kuzain itu bagi mencari penyelesaian terbaik supaya dapat menyertai latihan fasa seterusnya nanti tanpa berdepan dengan sebarang masalah.

"Wan Kuzain perlu pulang ke kelabnya kerana ia sebahagian daripada perjanjian dan sudah tentu banyak perkara perlu dipertimbangkan kerana dia wajib dikuarantin sekali gus mengambil masa lama untuk menyertai latihan.

"Ketika ini, dia menunjukkan prestasi yang begitu baik dan mula serasi dengan rakan yang lain. Diharap latihan akan datang dia akan menunjukkan peningkatan positif," katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad B-19, di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini.

Latihan fasa pertama 6 Julai lalu akan berakhir Ahad ini sebelum semua pemain perlu hadir kembali menjalani latihan pada 3 Ogos.

Sementara itu, Maloney berkata, dia akan menguji beberapa pemain di posisi yang berbeza dalam usaha mencari kesebelasan utama terbaik untuk di bawa ke Uzbekistan, Oktober nanti.

"Kita mahu pemain mempunyai pakej lengkap dengan beberapa perubahan akan dilakukan pada sesi latihan kali ini sekali gus mampu optimumkan kemampuan mereka," katanya.

Skuad B-19 yang diundi dalam kumpulan D bersama Qatar, Yamen dan Tajikistan dalam persediaan untuk menghadapi pusingan akhir kejohanan AFC B-19 dari 14 hingga 31 Oktober di Tashkent, Uzbekistan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 8:30 PM