HAMILTON berang dengan laporan bahawa dia meminta gaji dinaikkan. FOTO AFP
HAMILTON berang dengan laporan bahawa dia meminta gaji dinaikkan. FOTO AFP
AFP

LEWIS Hamilton melenting hari ini berkenaan dakwaan bahawa dia memita gajinya dinaikkan untuk menyambung kontrak bersama Mercedes bagi 2021 dan seterusnya.

Ketika seorang lagi pelumba, Romain Grosjean berkata, permintaan berkenaan tidak boleh diterima kerana Hamilton meminta lebih daripada AS$40 juta (RM171 juta) , juara dunia enam kali itu menggunakan media sosial untuk menempelak berita berkenaan.

"Media sentiasa menulis mengenai kontrak saya dan meminta ia dinaikkan tapi saya belum lagi bercakap dengan Toto Wolff mengenainya.

"Saya tidak meminta gaji dinaikkan. Perbincangan itu masih belum bermula. Jadi hentikan mengeluarkan berita tidak betul," katanya dalam Instagram.

Hamilton tidak menyatakan dia merujuk kepada organisasi media mana, tapi laporan dari London Daily Mail awal minggu ini mendakwa dia meminta gaji dinaikkan sehingga AS50 juta (RM214 juta).

Laporan lain menyatakan Mercedes tidak bersedia untuk menyediakan gaji kepadanya melebihi AS$20 juta (RM85 juta).

Grosjean yang berlumpa untuk pasukan Amerika Syarikat, Haas dan Pengarah Persatuan Pelumba Grand Prix (GPDA) berkata, ada perdebatan mengenai isu berkenaan dan menghadkan jumlah bayaran kepada pelumba bertaraf bintang mampu memberi impak kepada kerier pelumba muda sedang meningkat naik.

"Kami membincangkan perkara ini dalam GPDA. Ada yang menyokong, ada tidak menyokong. Saya tidak boleh terima Hamilton meraih lebih AS$40 juta, sedangkan ada pelumba lain meraih AS$150,00 (RM643,000) setahun untuk tugas yang sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2020 @ 9:56 PM