SALAH (tengah) ketika sesi latihan Liverpool. FOTO AFP
SALAH (tengah) ketika sesi latihan Liverpool. FOTO AFP
AFP

PENANTIAN 30 tahun Liverpool menjuarai Liga Perdana mungkin berakhir minggu ini tetapi Reds perlu mengharapkan Manchester City keciciran mata di Chelsea.

Jurgen Klopp melayan kunjungan Crystal Palace dalam aksi pertama liga di Anfield dalam tempoh 110 hari.

Keputusan seri 0-0 di Everton dalam aksi pertama semalam bermakna anak buah Jurgen Klopp terpaksa menunggu lagi walaupun Liverpool kembali meraih tiga mata penuh.

Bagaimanapun, jika skuad Klopp menang pada awal pagi Khamis ini bermakna City wajib menang di Stamford Bridge 24 jam kemudian untuk menafikan impian Liverpool meraih kejuaraan.

Palace adalah pasukan pelawat terakhir menang aksi liga di Anfield sejak tiga tahun lalu.

The Eagles mempamerkan kebangkitan ketika menang 2-0 di Bournemouth Sabtu lalu dan merapatkan jurang ke slot Eropah kepada empat mata dan Klopp tentunya waspada dengan apa yang dilihatnya.

"Saya melihat Crystal Palace dan mereka seperti mesin yang lancar," kata pengendali dari Jerman itu.

"Mereka kini mempunyai rekod bersih dalam empat perlawanan berturut-turut, jadi ia sudah tentu tugas sukar 100 peratus, saya sedar perkara ini. Tetapi itulah situasi Liga Perdana, jadi tiada masalah dengannya."

Liverpool mengharapkan Mohamed Salah dan Andy Robertson kembali cergas selepas kedua-duanya terlepas aksi 'derby' Merseyside.

Kekuatan City pula lebih menyeluruh apabila Pep Guardiola mampu melakukan lapan pertukaran ketika membelasah Burnley 5-0 awal pagi tadi.

Kevin De Bruyne dan Raheem Sterling antara bintang dijangka kembali membarisi kesebelasan untuk aksi lebih getir menentang Chelsea yang mahu mengukuhkan cengkaman di kelompok empat teratas.

Skuad Frank Lampard bangkit menewaskan Aston Villa 2-1 sekali gus mendahului lima mata di hadapan Manchester United dan Wolves.

"Sekarang kami meraih tiga mata ketika beberapa pasukan sekitar kami kehilangan mata," kata Lampard.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2020 @ 11:05 AM