AKSI  Mane (kanan) menjaringkan gol keempat Liverpool di Anfield. FOTO AFP
AKSI Mane (kanan) menjaringkan gol keempat Liverpool di Anfield. FOTO AFP
AFP

LIVERPOOL semakin hampir menjuarai Liga Perdana Inggeris selepas menewaskan Crystal Palace 4-0 manakala hatrik Anthony Martial membantu Manchester United mengatasi Sheffield United 3-0, awal pagi tadi.

Skuad Jurgen Klopp menguasai perlawanan hasil jaringan babak pertama menerusi Trent Alexander-Arnold dan Mohamed Salah dalam aksi tanpa penonton di Anfield.

Fabinho dan Sadio Mane melengkapkan kemenangan bergaya tuan rumah selepas rehat dan Liverpool akan dinobatkan juara jika Manchester City gagal menewaskan Chelsea di Stamford Bridge awal pagi esok.

Jika City yang menduduki tangga kedua menang di barat London, Liverpool berpeluang menamatkan penantian 30 tahun pada perlawanan berikutnya di Stadium Etihad apabila menentang skuad Pep Guardiola pada 2 Julai.

"Bayangkan jika stadium ini penuh dan penyokong dapat menikmatinya, sudah tentu menakjubkan," kata Klopp.

"Atmosfera di atas padang sangat menarik. Ia aksi menekan lawan paling hebat pernah saya saksikan dalam stadium tertutup."

Ketika ditanya sama ada dia akan menonton aksi City berdepan Chelsea, Klopp berkata: "Malam ini jelas kami menghampiri gelaran. Saya perlu menontonnya kerana akan menentang mereka minggu depan. Itu profesional dan tugas saya."

Selepas seri tanpa jaringan di Merseyside menentang Everton, Ahad lalu, The Reds tampak lebih garang dan Alexander-Arnold membuka tirai jaringan menerusi sepakan percuma menarik pada minit ke-23.

Salah menggandakan kelebihan pada minit ke-44 selepas mendapat hantaran Fabinho untuk jaringan ke-21nya musim ini.

Fabinho meledak gol ketiga hasil rembatan kencang pada minit ke-55 dan Mane menyudahkan gerakan menarik pada minit ke-69 bagi membolehkan Liverpool 23 mata di hadapan City.

MARTIAL (kiri) meraikan jaringan ketiganya di Old Trafford. FOTO AFP
MARTIAL (kiri) meraikan jaringan ketiganya di Old Trafford. FOTO AFP

United mungkin tidak mampu lagi memburu gelaran juara tetapi momentum mereka semakin meningkat apabila skuad Ole Gunnar Solskjaer kini tidak tewas dalam 13 perlawanan.

United mendominasi aksi di Old Trafford selepas Martial mempamerkan naluri pemusnah dengan meledak dua gol pada babak pertama.

Sheffield United cemerlang pada Mac lalu sebelum bola sepak terhenti tiga bulan tetapi Blades kini hanya meraih satu mata dan gagal menjaringkan gol dalam tiga perlawanan sejak liga bersambung kembali.

United mengendurkan asakan pada babak kedua tapi masih mampu mendapat gol ketiga selepas Martial menyudahkan hantaran Marcus Rashford untuk hatrik pertama dalam kariernya.

Tempat kelima sudah cukup untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan bergantung kepada keputusan rayuan City terhadap larangan beraksi di peringkat Eropah selama dua musim.

Wolves pula sama mata dengan United di tempat kelima selepas menang tipis 1-0 ke atas Bournemouth yang kekal dalam kelompok tiga terbawah.

Michael Keane menjaringkan gol tunggal Everton yang menewaskan Norwich 1-0 di Carrow Road untuk memintas Arsenal di tangga ke-10.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2020 @ 7:59 AM