SALAH menjaringkan penalti Liverpool. FOTO AFP
SALAH menjaringkan penalti Liverpool. FOTO AFP
AFP

London: Tottenham dan Liverpool kekal bersaing di puncak Liga Perdana selepas masing-masing seri 1-1 di Crystal Palace dan Fulham manakala jaringan sendiri Pierre-Emerick Aubamyeng menghadiahkan Burnley kemenangan mengejut 1-0 ke atas Arsenal di Emirates, awal pagi tadi.

Leicester memanfaatkan peluang dengan merapatkan kedudukan ke atas dua pasukan teratas kepada satu mata selepas James Maddison meledak dua gol ketika menewaskan Brighton 3-0 manakala Southampton melonjak ke tangga keempat dengan mengatasi Sheffield United juga 3-0.

Liverpool dan Tottenham bakal bertembung di Anfield pada Khamis dan selepas Chelsea, Manchester City serta Manchester United gagal menang kelmarin, kedua-duanya terlepas peluang melebarkan jurang selaku pendahulu liga.

AKSI penjaga gol  Crystal Palace,  Vicente Guaita. FOTO AFP
AKSI penjaga gol Crystal Palace, Vicente Guaita. FOTO AFP

Juara bertahan memerlukan penalti Mohamed Salah 11 minit sebelum tamat permainan bagi mengelakkan aib di Fulham selepas aksi hambar di babak pertama yang menyebabkan pengurus Liverpool, Jurgen Klopp tidak senang duduk di garisan tepi padang.

"Kami memerlukan setengah jam untuk mendapatkan rentak, itu sebab saya terpaksa menjerit kepada mereka,'' kata Klopp.

"Saya fikir pada setengah jam pertama kami mungkin tewas dan pada 60 minit terakhir kami sepatutnya menang. Akhirnya kami dapat satu mata.''

Rembatan deras Bobby DeCordova-Reid meletakkan tuan rumah di depan manakala kepulangan Alisson Becker memastikan gawang Liverpool tidak terus dibolosi sebelum rehat.

Liverpool menguasai babak kedua dengan mengasak kubu Fulham tetapi terpaksa memerlukan penalti untuk meraih mata selepas sepakan percuma Georginio Wijnaldum terkena tangan Aboubakar Kamara.

Tendangan rendah Salah melepasi jangkauan Alphonse Areola tetapi selepas itu Fulham kental bertahan untuk menggembirakan 2,000 penyokong mereka di Craven Cottage.

Sementara itu, kehadiran penonton kali pertama dalam tempoh sembilan bulan di Selhurst Park turut menyemarakkan semangat Crystal Palace yang bangkit bertenaga pada babak kedua ketika menentang Tottenham.

Harry Kane terlebih dahulu meletakkan pelawat di depan hasil kesilapan penjaga gol, Vicente Guaita yang gagal 'membaca' rembatan jauh kapten England itu tetapi gawang mereka yang kebal dalam enam aksi terakhir Liga Perdana akhirnya bolos apabila bola muntah sepakan percuma Eberechi Eze pantas disambar Jeffrey Schlupp yang menewaskan Hugo Lloris.

Arsenal pula kini hanya lima mata di atas zon penyingkiran selepas tewas kepada Burnley.

Layangan kad merah kepada Granit Xhaka selepas mengasari Ashley Westwood memberi kelebihan kepada Arsenal sebelum Aubameyang tertampan bola ke gawang sendiri hasil sepakan sudut Westwood ketika permainan berbaki 17 minit.

Gunners gagal menjaringkan gol daripada permainan terbuka dalam tujuh daripada lapan perlawanan terakhir manakala Burnley meraikan kemenangan pertama mereka ke atas Arsenal di Liga Perdana untuk melonjak keluar daripada zon penyingkiran.

MADDISON  (kanan) meraikan jaringan Leicester. FOTO AFP
MADDISON (kanan) meraikan jaringan Leicester. FOTO AFP

Leicester mengatasi Brighton untuk aksi terbaik mereka hujung minggu apabila mendominasi sepenuhnya babak pertama di King Power.

Maddison kembali ke prestasi terbaik selepas pulih kecederaan menerusi dua jaringan hebat manakala Jamie Vardy meledak gol ke-12nya musim ini.

Southampton pula kini hanya dua mata di belakang pendahulu Liga Perdana dan bakal berdepan kelab bermasalah, Arsenal selepas jaringan Che Adams, Stuart Armstrong dan Nathan Redmond menghadiakan kemenangan kelima daripada tujuh aksi terakhir.

Sheffield kekal tercorot tanpa sebarang kemenangan apabila tewas 11 daripada 12 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2020 @ 8:12 AM