MEGAT mahu pastikan warga Kuala Lumpur terus mempunyai stadium sendiri.
MEGAT mahu pastikan warga Kuala Lumpur terus mempunyai stadium sendiri.
BERNAMA

PERSATUAN Hoki Kuala Lumpur (KLHA) akan mengadakan perjumpaan dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dalam tempoh terdekat bagi mencari penyelesaian berhubung krisis pemilikan pengurusan Stadium Hoki Kuala Lumpur di Bangsar.

Presiden KLHA, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, beliau berharap krisis berkenaan dapat diselesaikan menerusi pertemuan itu nanti, sekali gus memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

"Perjuangan kami ini untuk memastikan warga Hoki Kuala Lumpur terus mempunyai stadium dan membolehkan kami memperbanyakkan aktiviti pembangunan hoki di sini sebaik tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Mungkin ada beberapa pihak telah membuat kenyataan terdahulu tanpa mengetahui keadaan sebenar, tindakan ini menjadikan situasi bertambah keruh. Jadi harapan saya semoga semua warga hoki di Kuala Lumpur faham dan jelas pihak KLHA sedang melakukan yang terbaik dalam menyelesaikan isu ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Megat D Shahriman, isu pemilikan pengurusan itu berlarutan sejak beberapa tahun lepas dan pengurusan baharu KLHA yang diketuainya sentiasa mencari jalan penyelesaian.

DBKL baru-baru ini mengeluarkan notis kepada KLHA untuk mengosongkan pejabat mereka di stadium hoki berkenaan serta merta susulan kegagalan menguruskan venue itu dengan baik sejak beberapa tahun lepas.

KLHA mula menguruskan Stadium Hoki Kuala Lumpur sejak 1988.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2020 @ 6:21 PM