AKSI Kuching FA menentang  Penjara FC pada perlawanan Liga M3 2019 di Stadium Negeri, Kuching.
AKSI Kuching FA menentang Penjara FC pada perlawanan Liga M3 2019 di Stadium Negeri, Kuching.
Firdaus Hashim


MASALAH kewangan yang kronik membabitkan kelab-kelab dalam saingan Liga M3 adalah kekangan besar yang perlu dihadapi.

Oleh itu, keputusan Liga Bolasepak Amatur (AFL) membatalkan saingan itu disambut baik semua kelab dan menyifatkan keputusan berkenaan tepat.

Pengurus pasukan Klasiko FC, Khairil Anuar menganggap jika Liga M3 diteruskan, beliau khuatir pasukan terpaksa menarik diri kerana mereka juga sedang bergelut dengan peruntukan pasukan apabila pihak penaja mengalami masalah kewangan sekali gus sukar untuk meneruskan penajaan bagi musim ini.

"Boleh dikatakan agak lega apabila AFL mengumumkan pembatalan Liga M3 kerana pihak penaja Klasiko FC juga terjejas dengan wabak Covid-19 ini kerana mereka rata-rata ada perniagaan sendiri, jadi sudah pasti kewangan juga akan terjejas.

"Oleh itu, saya merasakan pembatalan liga ini adalah paling sesuai untuk pasukan seperti kami dan selepas ini kami akan mempunyai banyak masa untuk membuat perancangan dan mencari penaja tambahan bagi musim depan.

"Berkenaan kontrak dan gaji pemain, barisan pemain Klasiko FC tidak dibayar gaji bulanan sebaliknya diberi elaun perlawanan sahaja kerana kesemua mereka sudah pun bekerja tetap dan situasi ini sedikit sebanyak membantu pasukan untuk melakukan persediaan lebih baik bagi musim hadapan," katanya.

Sementara itu, pengendali Kuala Terengganu Rovers ( KT Rovers), Mohd Azhari Salim bersetuju langkah yang diambil AFL memandangkan waktu semakin suntuk untuk meneruskan saingan Liga M3 musim ini.

"Saya memang bersetuju dengan langkah ini memandangkan wabak Covid-19 masih belum berakhir dan bola sepak berada dalam sukan yang dikategorikan ada kontak rapat semasa bermain.

"Malah jika kita bermula September nanti pun, tidak banyak perlawanan diadakan memandangkan aksi hanya seminggu sekali yang dijangka berakhir Disember nanti.

"Mengenai isu kontrak, kami tidak ada masalah besar bagi pemain tempatan kerana semuanya dibayar mengikut elaun cuma untuk pemain import, kami akan adakan perbincangan secara mendalam dengan mereka tentang pembayaran baki kontrak," kata Azhari.

Terdahulu, AFL mengesahkan pembatalan Liga M3 berikutan penularan wabak Covid-19 yang diklasifikasikan sebagai pandemik di seluruh dunia.

Antara faktor pembatalan adalah venue dan padang pasukan bertanding kebanyakannya terbuka dan tidak memenuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk dijalankan secara tertutup dan tanpa penonton.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2020 @ 2:49 PM