SAINGAN  Piala Presiden dan Piala Belia tahun ini dibatalkan berikutan Covid-19.
SAINGAN Piala Presiden dan Piala Belia tahun ini dibatalkan berikutan Covid-19.
Firdaus Hashim


ARENA bola sepak Malaysia bakal berdepan 'bencana' besar apabila dijangka kehilangan ribuan bakat muda susulan pembatalan saingan di peringkat pembangunan seperti Piala Presiden dan Piala Belia tahun ini.

Senario itu sememangnya menakutkan untuk dibayangkan terutama apabila ketiadaan aksi kompetitif bagi pemain muda yang sudah tentu akan membantutkan pembangunan bola sepak di negara ini.

Bagaimanapun, mengambil kira situasi semasa ekoran masalah pandemik Covid-19 ketika ini, saranan pembatalan itu sememangnya salah satu jalan yang tepat namun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tetap bertanggungjawab dalam memastikan ekosistem pembangunan terus bergerak.

Lantas, bekas pemain negara, Bakri Ibni tampil mencadangkan supaya FAM mewujudkan peraturan baharu dengan mewajibkan setiap pasukan Liga Super dan Liga Perdana menyenaraikan sekurang-kurangnya tiga pemain bawah 20 (B-20) dalam pasukan.

Jelas Bakri, setiap pasukan juga perlu mengutamakan agenda negara dengan menyambut peraturan ini sekiranya diterima oleh FAM.

"Kita tahu Liga Super dan Liga Perdana akan disambung semula pada September ini, jadi apa salahnya kalau FAM wajibkan semua pasukan ambil tiga pemain B-20 dalam pasukan masing-masing.

"Ibarat macam bangunan atau rumah lama, kalau tak ada yang jaga mesti rumah itu akan usang dan rosak. Begitu juga dengan pemain, kalau pemain muda dah tak ada perlawanan mereka juga akan berkarat.

"FAM kena berfikir di luar kotak dan perlu menjaga kepentingan bola sepak negara terutama masa depan kita. Kalau tak ada pemain muda, saya bimbang kita akan ketandusan pemain berbakat nanti.

"Saya sokong 100 peratus jika pemain muda disenaraikan dalam pasukan. Sekurang-kurang tiga pemain. Kalau 12 pasukan Liga Super dan 12 pasukan Liga Perdana buat benda ini, kita boleh dapat 72 pemain B-20 yang masih aktif beraksi," katanya kepada Arena Metro, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2020 @ 6:00 AM