BUERKI (kanan) gagal menyelamatkan sepakan lambung Kimmich seterusnya membolehkan Bayern mencatat kemenangan 1-0 di Signal Iduna Park, awal pagi tadi. FOTO AFP
BUERKI (kanan) gagal menyelamatkan sepakan lambung Kimmich seterusnya membolehkan Bayern mencatat kemenangan 1-0 di Signal Iduna Park, awal pagi tadi. FOTO AFP
AFP

JOSHUA Kimmich menjelaskan jaringan kemenangannya sangat penting apabila Bayern Munich berada di landasan terbaik untuk meraih kejuaraan Bundesliga buat kali kelapan berturut-turut selepas menang 1-0 ke atas Borussia Dortmund awal pagi tadi.

Kemenangan tipis di tempat lawan itu menyaksikan Bayern menjarakkan diri dengan Dortmund melalui perbezaan tujuh mata tatkala berbaki enam lagi perlawanan.

Sentuhan luar biasa Kimmich hadir sebelum rehat separuh masa pertama dalam aksi tanpa penonton di Signal Iduna Park, manakala tuan rumah, Dortmund terlepas peluang untuk menekan Bayern selepas mereka tidak mendapat sokongan padu daripada penyokong seperti sebelum ini,

"Ia memang sangat penting. Saya lihat sekeliling untuk memastikan sama ada semua orang faham betapa gol ini memang sangat penting," kata Kimmich.

Ketua pasukan, Manuel Neuer bersetuju dengan apa yang dinyatakan oleh pemain tengah Bayern itu.

"Itu adalah petanda yang sangat penting," kata Neuer yang sekali lagi berjaya membantu Bayern daripada tidak dibolosi sama seperti aksi pertama di Munich November lalu apabila mereka menang 4-0.

"Sekarang hanya Bayern sendiri boleh membuat keputusan apa yang akan berlaku. Adakalanya, perlawanan ditentukan dengan situasi luar biasa dan itu yang berlaku hari ini," kata ketua pasukan Dortmund, Mats Hummels.

Bintang remaja Dortmund, Erling Braut Haaland, yang menjaringkan 10 gol dalam saingan liga, gagal untuk memberi impak selepas dikawal ketat pertahanan Bayern sebelum dikeluarkan pada separuh masa kedua akibat cedera.

Jerome Boateng dan David Alaba langsung tidak memberi ruang kepadanya, manakala Kimmich dan Leon Goretzka menghalang segala hantaran yang ingin dihulurkan kepadanya.

Penyerang kelahiran Norway itu terpaksa dikeluarkan ketika perlawanan berbaki 20 minit selepas diterjah keras Boateng.

Gol kemenangan Bayern hadir dua minit sebelum rehat apabila dia melakukan sepakan lambung dari jarak 18.2 meter untuk menewaskan penjaga gol, Roman Buerki.

Ia adalah gol ketiga liga dari luar petak penalti dilakukan pemain antarabangsa Jerman itu.

Sementara itu perlawanan lain menyaksikan Wolfsburg berjaya mengalahkan tuan rumah, Bayer Leverkusen 4-1 dan Eintracht Frankfurt berkongsi mata dengan Freiburg selepas mencatat keputusan seri 3-3.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2020 @ 9:12 AM