LEWANDOWSKI jaring dua gol bantu kemenangan Bavaria. FOTO/AGENSI
LEWANDOWSKI jaring dua gol bantu kemenangan Bavaria. FOTO/AGENSI
Reuters

MUNICH: Penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski menjaringkan dua gol ketika membantu pasukannya menang 2-0 ke atas AEK Athens pada saingan Liga Juara-Juara awal pagi tadi sekali gus menyaksikan mereka menduduki tangga teratas Kumpulan E dengan berbaki dua perlawanan.

Lewandowski menjaringkan gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-31 dan menambah satu gol lagi pada minit ke-72 menerusi rembatan voli untuk memberi lebih keyakinan kepada Bayern menghadapi saingan Bundesliga bertemu pendahulu liga, Borussia Dortmund, Sabtu ini.

Bayern yang bergelut pada separuh masa pertama, kini mengumpul 10 mata dengan Ajax Amsterdam di tangga kedua dengan lapan mata selepas seri 1-1 dengan Benfica.

AEK bermula baik apabila tandukan Vasilis Lampropoulos pada minit kelima hampir mencipta gol tetapi ia sedikit tersasar melewati palang gol yang dikawal Manuel Neuer.

AEK kekal mempamer aksi konsisten namun penalti pada minit ke-31 yang dihadiahkan kepada Bayern menyaksikan Lewandowski tidak mensia-siakannya untuk meledak gol pembukaan.

Leon Goretzka hampir menjaringkan gol buat Bayern 10 minit selepas rehat tetapi tandukannya ditampan oleh penjaga gol AEK, Vasilis Barkas.

Penjaga gol itu kemudian menafikan cubaan Lewandowski dalam situasi satu lawan satu ketika Bayern meneruskan tekanan untuk memperoleh gol kedua.

Lewandowski akhirnya berjaya meledak gol kedua selepas tidak dikawal berpunca daripada sepakan penjuru Joshua Kimmich pada minit ke-72.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 12:16 PM