KIMMICH kembali memperkuatkan skuad Jerman. FOTO AFP
KIMMICH kembali memperkuatkan skuad Jerman. FOTO AFP
AFP

Munich: Jurulatih Jerman, Julian Nagelsmann memanggil semula pemain tengah Bayern Munich, Joshua Kimmich untuk perlawanan persahabatan menentang Turki dan Austria ketika sedang membina skuad mantap menjelang Euro 2024.

Kimmich ada bersama skuad untuk perlawanan menentang Amerika Syarikat dan Mexico pada Oktober tetapi tidak memainkan peranan dalam kedua-dua perlawanan kerana sakit.

Serge Gnabry juga kembali selepas pulih daripada patah lengan.

Gnabry membuat penampilan ringkas sebagai pemain gantian untuk Bayern dalam kemenangan menentang Galatasaray dalam Liga Juara-Juara Khamis lalu.

Nagelsmann, bekas jurulatih Bayern yang mengambil alih tugas daripada Hansi Flick pada September, juga memanggil dua pemain yang tidak pernah beraksi di peringkat antarabangsa penjaga gol berpengalaman Leipzig, Janis Blaswich dan penyerang Werder Bremen, Marvin Ducksch.

Manuel Neuer, penjaga gol Jerman ketika memenangi Piala Dunia 2014, berkata perlawanan berkenaan hadir 'terlalu cepat' ketika pemain berusia 37 tahun itu kembali cergas selepas setahun berehat akibat kecederaan.

Rakan sepasukannya di Bayern, Jamal Musiala, tiada dalam skuad kerana masalah hamstring dan tempatnya beralih kepada pemain tengah Borussia Dortmund, Felix Nmecha.

Jerman menentang Turki pada 18 November di Berlin sebelum pergi ke Vienna untuk menghadapi Austria tiga hari kemudian.

Kedua-dua lawan Jerman sudah pun mengesahkan tempat ke Euro 2024.

"Saya sangat gembira dengan dua perlawanan ini. Akan ada emosi dan suasana yang hebat," kata Nagelsmann.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2023 @ 9:38 PM