FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Firdaus Hashim


CALON baharu naturalisasi warisan kelahiran Congo, Marcel Kalonda sedia beraksi untuk Harimau Malaya jika Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berminat mendapatkan khidmatnya.

Kalonda ketika dihubungi Arena Metro menerusi laman sosial mengakui ada berkomunikasi dengan pegawai FAM yang mahukan dokumen rasmi berhubung latar belakangnya.

Katanya, dia sedang berusaha mengumpulkan segala dokumen yang dikehendaki FAM terutama mengenai kesahihan pertalian darah dengan Malaysia.

"Ya, saya nak main untuk Malaysia. Mereka (FAM) ada menghubungi saya dan perbincangan kami berlangsung baik sekali.

"Saya sedang berusaha kumpul maklumat tambahan dan akan selesai tak lama lagi. Itu saja yang boleh saya kongsikan dan harap semuanya berjalan lancar," katanya yang ketika ini berada di Zambia.

Arena Metro sebelum ini melaporkan dua lagi calon naturalisasi warisan iaitu Kalonda dan pemain kelahiran New Zealand, Harry Edge boleh dipertimbangkan untuk memperkuatkan lagi posisi bek tengah Harimau Malaya.

Susulan laporan itu, Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi tidak menunggu lama apabila terus menghubungi kedua-dua pemain berkenaan bagi mendapatkan dokumen rasmi sebelum menguji kebolehan dan kemampuan mereka yang akan dinilai oleh pakar teknikal pasukan kebangsaan.

Berdasarkan maklumat peribadi Kalonda, dia dilahirkan di Kolwezi, Congo namun mendakwa datuknya lahir di Sabah dan dia sendiri pernah melawat Malaysia semasa kecil.

Pemain berusia 22 tahun itu adalah pemain pertahanan yang berketinggian 188 sentimeter dan kini dia beraksi dengan ZESCO United yang menjadi juara Liga Zambia musim lalu.

Kalonda juga menjadi pemain utama pasukannya dalam saingan CAF Champions League iaitu Liga Juara-juara Afrika sejak 2018 dan dia dilihat pertaruhan terbaik buat skuad kendalian Tan Cheng Hoe bagi memperkukuhkan benteng pertahanan negara.

Seorang lagi pemain iaitu Edge yang berusia 26 tahun dan dilahirkan di New Zealand juga memiliki reputasi hebat untuk membantu Harimau Malaya.

Edge yang kini beraksi dengan kelab divisyen dua Sweden, Torslanda IK selain pernah bermain di Liga Belanda, dikatakan mempunyai pertalian darah dengan Malaysia kerana bapanya dilahirkan di Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2020 @ 2:00 AM