ABDUL LATIF ROMLY
ABDUL LATIF ROMLY
Saiful Affendy Sapran


ATLET lompat jauh para negara, Abdul Latif Romly menyokong usaha Kementerian Belia dan Sukan untuk menyatukan atlet di bawah program Road to Tokyo (RTT) melalui pelaksanaan program latihan pusat khas berprestasi tinggi yang dirancang selepas sambutan Aidilfitri.

Abdul Latif berkata, usaha itu sebagai jalan terbaik memastikan fizikal atlet RTT kembali di tahap terbaik selepas sekian lama terpaksa meneruskan latihan di rumah.

"Sebagai atlet kami memerlukan fasiliti lengkap untuk meneruskan latihan, di rumah sukar untuk kami menjalani latihan dan banyak gangguan.

Contohnya apabila hujan kami tidak boleh berlatih walaupun jurulatih menyediakan rutin program latihan untuk kami.

"Atas sebab itu saya merasakan usaha KBS untuk mendapatkan kebenaran bagi atlet RTT memulakan semula latihan pusat berprestasi tinggi adalah sangat baik bagi mengembalikan prestasi atlet yang pastinya terkesan selepas lebih 50 hari di rumah," katanya.

Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016 itu berkata, sebagai manusia biasa dia juga bimbang dengan ancaman pandemik Covid-19.

"Takut itu memang ada, tetapi latihan juga penting. Sebagai atlet kami memerlukan latihan intensif dan saya sedia melaporkan diri di Majlis Sukan Negara (MSN) sekiranya dibenarkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2020 @ 7:00 AM