Atlet lontar peluru F20, Muhammad Ziyad Zolkefli terbabit RTT. FOTO File NSTP
Atlet lontar peluru F20, Muhammad Ziyad Zolkefli terbabit RTT. FOTO File NSTP
BERNAMA

SETELAH hampir dua bulan setengah tidak 'bersama' anak didiknya, ketua jurulatih olahraga para negara, R. Jeganathan menjangkakan bakal berdepan cabaran besar apabila mereka dipanggil menjalani semula latihan pada 1 Jun ini.

Jeganathan mengakui memerlukan tempoh sekurang-kurangnya sehingga empat bulan untuk memastikan prestasi atlet di bawah bimbingannya kembali ke tahap sedia kala selepas lama berehat daripada melakukan sebarang aktiviti sukan kompetitif.

"Walaupun kami sediakan program tertentu kepada atlet setiap hari sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita tidak pasti sejauh mana mereka lakukan.

"Jadi sebelum mula latihan nanti, kita akan laksanakan kembali 'coalition performance'. Kita akan uji dan pastikan kedudukan prestasi mereka. Sudah pasti program akan dirangka semula.

"Memang tidak boleh sambung latihan akhir sebelum PKP dikuatkuasakan sebab ia untuk persediaan kejohanan bulan Ogos, tapi sekarang sudah tunda ke tahun hadapan, jadi kena buat semula program baharu," katanya.

Empat atlet para olahraga yang terbabit dalam program 'Road to Tokyo' (RTT) 2020 iaitu Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (100m T36), Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru F20), Abdul Latif Romly (lompat jauh F20) dan Jonathan Wong Kar Gee (lompat jauh T12) dijadual kembali menjalani latihan bermula 1 Jun ini.

Mereka akan dibimbing tiga jurulatih termasuk Jeganathan, jurulatih lompat jauh para, Syahrul Amri Suhaimi, dan jurulatih lontar peluru para, Faizul Haron.

Berita gembira itu diumumkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media semalam memaklumkan bahawa kerajaan memberi kelonggaran khas kepada 265 individu termasuk 57 atlet yang terlibat dalam program RTT 2020 fasa pertama bermula 1 hingga 30 Jun.

Kelulusan itu diberikan oleh Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai PKP pada Selasa, berikutan permohonan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengenai persiapan untuk Sukan Olimpik dan Paralimpik di Tokyo tahun hadapan.

"Sebaik sahaja mendengar berita gembira itu, saya terus hubungi atlet dan mereka setuju dan bersedia untuk kembali. Malah tidak sabar untuk buat latihan balik.

"Kita ada masa kira-kira setahun untuk persiapan Sukan Paralimpik. Nampak macam satu jangka masa yang panjang tetapi sebenarnya kita sudah kesuntukan masa," katanya.

\

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2020 @ 9:18 PM