NADAL tidak dapat menjalani latihan. FOTO AFP
NADAL tidak dapat menjalani latihan. FOTO AFP
AFP

RAFAEL Nadal meluahkan rasa kecewa kerana masih tidak dapat menjalani latihan berikutan pandemik Covid-19 manakala Roger Federer mendedahkan dia gembira dengan proses pemulihan susulan pembedahan lutut.

Sepanyol melanjutkan tempoh kawalan pergerakan sehingga 9 Mei dengan hampir seluruh rakyat berkurung di rumah termasuk Nadal yang kebingungan kerana tidak dapat menjalani latihan.

“Saya berasa kecewa kerana tidak boleh bermain tenis ketika ada yang dibenarkan pergi bekerja,” kata pemain nombor dua dunia itu di Instagram Live.

“Tetapi saya faham bahawa kita semua dalam situasi sukar ketika ini. Kerajaan sedang berdepan dengan sesuatu yang sukar dijangka.

“Banyak perkara yang mungkin dilihat tidak logik tetapi anda perlu menerima dan mengikut segala arahan diberikan,” katanya.

Nadal melayan pertanyaan peminatnya di Instagram Live yang mana dia turut berhubung dengan Roger Federer dan Andy Murray bertanyakan pengalaman mereka ketika tempoh perintah berkurung.

Sementara itu, Federer memberi penjelasan berhubung perkembangan terkini lutut kanannya selepas mengambil keputusan untuk melakukan pembedahan Februari lalu.

“Saya ada menjalani latihan ringan untuk proses pemulihan lutut. Segala-galanya agak baik.

“Jika bertanya kepada saya apakah perkara positif ketika perintah berkurung, satu-satunya ialah saya dapat menjalani proses pemulihan dengan baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2020 @ 10:50 AM