AKSI Federer pada Terbuka Australia tahun lalu. FOTO AFP
AKSI Federer pada Terbuka Australia tahun lalu. FOTO AFP
AFP

Doha: Roger Federer berkata dia tidak memikirkan soal persaraan ketika bergelut dengan kecederaan sambil menegaskan proses pemulihan pembedahan di lutut semakin terkawal menjelang penampilannya semula di Terbuka Qatar minggu ini.

Bintang berusia 39 tahun itu tidak pernah beraksi sejak tewas pada separuh akhir Terbuka Australia di tangan Novak Djokovic, Januari tahun lalu dan mengakui adalah sesuatu yang agak janggal pemain berusia sepertinya kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan.

"Saya tahu agak janggal bagi pemain menghampiri usia 40 tahun kembali beraksi selepas berehat selama setahun," katanya pada sidang media menelang aksi di Doha.

"Saya berasakan persaraan bukanlah pilihan utama."

Federer yang menjalani pembedahan lutut sebanyak dua kali tahun lalu menambah: "Paling penting adalah saya tidak berasa sakit dan bebas daripada kecederaan.

"Saya sangat gembira dapat kembali beraksi. Saya sendiri tidak menjangkakan akan mengambil masa yang lama untuk kembali semula."

Ketika Federer tidak beraksi, dia menyaksikan Rafael Nadal menyamai rekod 20 gelaran Grand Slam selepas mengungguli saingan Roland Garros buat kali ke-13.

Manakala Djokovic memenangi Terbuka Australia buat kali kesembilan bulan lalu untuk kemenangan Grand Slam ke-18.

"Novak melakukannya di Australia dan Rafa di Perancis. Mereka berdua berada pada prestasi terbaik di mana ia adalah perkembangan yang baik untuk sukan tenis.

"Keutamaan saya adalah kesihatan diri dan permainan saya berbanding memikirkan soal rekod," kata Federer.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mac 2021 @ 11:06 AM