WINDSOR. FOTO Arkib NSTP
WINDSOR. FOTO Arkib NSTP
Syazwan Msar

SETIAP masalah pasti ada jalan penyelesaian terutama membabitkan isu pemotongan gaji apabila pasukan atau kelab bola sepak boleh menggunakan kaedah terakhir dengan menghantar permohonan kepada Liga Bola Sepak Malaysia dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk berbuat demikian.

Ini bermakna kelab tidak perlu ‘tunduk’ kepada pemain apabila gagal mencari jalan penyelesaian dalam isu pemotongan gaji dengan mengemukakan rayuan atau permohonan demi memastikan pasukan tidak berkubur akibat kekurangan dana.

Perkara terbabit disahkan Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor John Paul apabila tindakan itu boleh dilakukan pasukan sejajar dengan peraturan ditetapkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Malah, beliau juga mengingatkan pemain supaya jangan ‘keras kepala’ dengan tidak mahu berunding apabila diminta pasukan berbuat demikian kerana tindakan itu akan memburukkan lagi keadaan.

“Jika pemain tidak mahu berunding dengan pasukan sudah pasti akan digunakan alasan terbabit untuk terus memotong gaji mereka berikutan pemain enggan duduk berbincang. “Nasihat saya adalah lebih baik berbincang mencari persetujuan bersama mengenai pemotongan gaji supaya semuanya berpuas hati tanpa ada timbul masalah kemudian hari. “Pasukan boleh terus menghantar surat kepada MFL dan FAM berkaitan pemotongan gaji apabila pemain berkenaan enggan mengadakan sebarang pertemuan sekali gus jika perkara ini berlaku akan mengeruhkan keadaan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam. Sebelum ini, Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) meletakkan dua syarat yang harus dipatuhi pasukan atau kelab Liga Malaysia (Liga-M) sebelum membincangkan isu pemotongan atau penangguhan gaji pemain bagi memastikan tiada pihak yang teraniaya.

Antara syarat yang perlu dipatuhi pasukan atau kelab adalah wajib menyelesaikan tunggakan gaji sebelum pandemik Covid-19 bermula selain rundingan atau persetujuan perlu dibuat secara individu dengan pemain dan bukannya berkumpulan.

Selain itu, PFAM juga mendakwa terdapat majikan ibarat ‘memaksa’ pemain untuk menyatakan persetujuan dengan cepat berhubung isu pemotongan gaji sedangkan pihak majikan masih berlengah berhubung tunggakan kepada para pemain.

Sementara itu, Windsor berkata, pihaknya memantau berkaitan perkembangan liga di setiap negara Asia terutama membabitkan isu pemotongan gaji supaya tidak pihak teraniaya hingga mengganggu perjalanan aktiviti bola sepak pada masa akan datang.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2020 @ 7:00 AM