WINDSOR. FOTO Arkib NSTP
WINDSOR. FOTO Arkib NSTP
Arena Metro

PEMAIN Liga Malaysia (Liga-M) harus memahami senario semasa terutamanya dalam menghadapi wabak Covid-19 yang kini menyerang seluruh dunia termasuk menyebabkan kehilangan nyawa manusia.

Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor John berkata, ini bukan masanya buat mana-mana pihak menuding jari atau menyalahkan sebelah pihak sebaliknya pengurusan pasukan dan pemain perlu duduk semeja mencari penyelesaian terbaik dalam situasi sukar ini.

Ia termasuk soal pemotongan gaji atau penstrukturan semula gaji pemain ekoran penangguhan liga domestik yang memberi kesan kepada kewangan pasukan masing-masing.

Jelasnya, keputusan diambil harus mementingkan impak yang meluas, bukannya bermotifkan kepentingan individu.

“Tanpa kemampuan menjana pendapatan sama ada dari segi jualan tiket, penajaan mahupun sokongan kerajaan, kantung sesetengah pasukan terjejas untuk satu tempoh yang agak panjang.

“Kelab mungkin tidak dapat memenuhi tanggungjawab termaktub dalam kontrak dengan pemain. Laporan dari Eropah menunjukkan gaji pemain sama ada dipotong atau ditunda.

“Dalam keadaan kita berdepan krisis besar, semua pihak harus berjiwa besar. Dengan senario sedia ada, ini masanya kita melihat dari sudut gambaran yang lebih besar.

“AFC menggalakkan negara anggota dan pemain memahami situasi sedia ada. Ringkasnya, perlu semua pihak duduk semeja berunding dan mencari penyelesaian secara bersama,” katanya.

Kelmarin, Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) bertegas enggan membuka pintu rundingan dan mahu majikan menghormati kontrak sekali gus tidak mahu kaedah pemotongan gaji atau penstrukturan semula dilakukan.

Jelas Windsor lagi, satu perubahan besar bakal berlaku dalam ekosistem bola sepak dunia apabila AFC mengadakan perbincangan dengan wakil pemain profesional, FIFPro, selain keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk membentuk Jawatankuasa Petugas bagi merangka strategi baharu menangani cabaran Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2020 @ 6:30 AM