PELUMBA TSG, Harrif (kiri) menerima jersi daripada pemilik Icon Cafe, Mazlan Malik di Kuala Terengganu. FOTO MALIK MUHAMAD
PELUMBA TSG, Harrif (kiri) menerima jersi daripada pemilik Icon Cafe, Mazlan Malik di Kuala Terengganu. FOTO MALIK MUHAMAD
Malik Muhamad


DI sebalik kejayaan menawan dua peringkat perlumbaan PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 yang berakhir minggu lalu, pelumba basikal Terengganu Inc Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Saleh meluah rasa terharu sambil berterima kasih kepada rakan sepasukannya.

Apa tidaknya ketika harapan bagaikan pudar untuk merangkul gelaran dalam perlumbaan berprestij negara yang disertai 22 pasukan itu, anak kelahiran Terengganu berusia 32 tahun itu bangkit membuktikan kelibat pelumba tempatan juga mampu menewaskan pelumba handalan dunia.

“Saya begitu terharu dan hampir menitis air mata selepas berjaya menamatkan perlumbaan LTdL dengan menaiki dua podium.

“Ini kerana sebelum menyertai LTdL, saya tidak begitu berkeyakinan kerana percaturan awal pasukan berubah, sebenarnya ketika latihan saya bersama rakan sepasukan, Yousef Reguigui, sudah menyusun strategi untuk merangkul beberapa podium.

“Lagipun saya sudah serasi bergandingan dengannya untuk memastikan LTdL kali ini meletup, namun pada saat akhir pelumba itu tidak dapat bergandingan dengan saya kerana tarikh pertandingan LTdL ini bertembung dengan perlumbaan di Arab Saudi.

“Apabila dia pergi ke kejohanan itu jadi saya bagaikan hilang arah dan terkontang-kanting serta kurang bersemangat untuk memburu kejuaraan pada edisi kali ini sebab tidak ada rakan nak bantu saya ketika memecut.

“Namun kekuatan dan semangat luar biasa hadir tanpa dijangka ketika muncul di kedudukan kedua pada perlumbaan pertama di Kuching, Sarawak.

“Bermula perlumbaan peringkat pertama itu, semangat saya kian membara lebih-lebih lagi dalam setiap peringkat itu saya dibantu pelumba lain dalam pasukan biarpun sebelum ini harapan tidak diletakkan terlalu tinggi untuk merangkul gelaran juara.

“Sepanjang menyertai LTdL ini, saya belum pernah meraih sebarang jersi kerana sasaran utama saya adalah untuk merangkul gelaran juara pada setiap peringkat perlumbaan.

“Tahun lalu saya meraih hanya sekali di kedudukan pertama pada peringkat perlumbaan kedua dari Senawang, Negeri Sembilan ke Melaka.

“Tapi tahun ini kejayaan lebih gemilang kerana meraih dua kejuaraan pada peringkat kelima dari Kuala Kubu Bharu ke Ipoh dengan menamatkan perlumbaan sejauh 165.8 kilometer (km) dengan masa 3 jam 39 minit 42 saat.

”Peringkat ketujuh pula sejauh 130.4 km dari Bagan ke Alor Setar, saya juga berjaya meraih tempat pertama dengan catatan dua jam 53 minit 18 saat,” ujar Harrif ketika ditemui pada majlis meraikan pelumba kelahiran Terengganu yang berjaya di LTdL di Icon Cafe, Pasir Panjang, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Februari 2020 @ 1:51 AM