CHENG Hoe (tengah) berjaya bawa Harimau Malaya ke tahap lebih baik berbanding Vingada.
CHENG Hoe (tengah) berjaya bawa Harimau Malaya ke tahap lebih baik berbanding Vingada.
Oleh Firdaus Hashim


BOLEH ambil jurulatih luar termasuk dari Korea Selatan dan Jepun, tapi pastikan jurulatih itu berkualiti dan lebih baik daripada pengendali tempatan.

Itu pendapat Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan , mengenai calon jurulatih baharu skuad bawah 22 tahun (B-22) negara bagi menggantikan Datuk Ong Kim Swee yang tamat kontraknya hujung bulan ini.

Beliau berkata, jika tiada calon import yang sesuai, lebih baik Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menggunakan khidmat jurulatih tempatan berkualiti yang lebih arif dengan bola sepak negara.

Ini terbukti apabila skuad negara menjulang Piala AFF 2010 serta pingat emas Sukan Sea 2009 dan 2011 menerusi khidmat pengendali tempatan.

Sathianathan berkata, peningkatan ketara juga ditunjukkan skuad Harimau Malaya sejak dibimbing Tan Cheng Hoe dengan kejayaan muncul naib juara Piala AFF tahun lalu, selain aksi cemerlang pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Bagaimanapun, jurulatih Selangor itu menegaskan, beliau tidak bermaksud memboikot jurulatih luar sebaliknya memberi kepercayaan kepada anak tempatan jika tidak mendapat pengendali import berkualiti.

“Jurulatih luar ada yang bagus dan ada yang kurang bagus. Saya tidak mahu kita mengambil jurulatih asing yang tidak berkualiti seperti mana yang pernah berlaku sebelum ini. Kalau kita tak dapat jurulatih luar yang bagus, baik kita guna jurulatih tempatan kerana negara kita juga ada jurulatih berkaliber.

“Lihat Cheng Hoe, bagaimana beliau memberi nafas baharu kepada permainan pasukan Harimau Malaya berbanding jurulatih sebelumnya (Nelo Vingada) yang tewas dalam semua aksi sepanjang melatih pasukan. Jadi, pada saya baik kita terus beri kepercayaan kepada jurulatih tempatan, namun sekiranya ada jurulatih asing yang betul-betul bagus terpulang kepada FAM,” katanya.

Arena Metro semalam melaporkan, bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh mencadangkan FAM keluar daripada kepompong jurulatih tempatan dengan mengintai jurulatih dari Korea Selatan atau Jepun untuk membimbing skuad B-22 negara bagi menggantikan Kim Swee.

Jelasnya, falsafah bola sepak Malaysia yang diterajui beberapa pengendali tempatan sudah tidak relevan dan ia perlu ditambah baik dengan falsafah baharu.

Mengambil contoh pasukan Vietnam, Shebby melihat falsafah baharu yang diterapkan oleh jurulatih dari Korea Selatan, Park Hang-seo itu berjaya mengubah nasib skuad Naga Emas dalam tempoh tiga tahun ini dengan muncul antara negara terkuat di Asia ketika ini.

Malah, Thailand juga yang kini di bawah kendalian jurulatih Jepun, Akira Nishino sedang mengalami transisi perubahan dengan menekankan falsafah permainan pantas seperti mana yang digunakan skuad Samurai Biru.

Mengulas lanjut, Sathianathan berkata, soal falsafah bukan masalah besar kerana beberapa jurulatih tempatan sudah pun menjalani kursus lesen profesional di Jepun dan China sebelum ini.

“Bola sepak ini memang sentiasa berubah dan akan ada falsafah atau taktikal baharu. Tetapi, kita sentiasa ada jurulatih yang selalu mengikuti kursus itu, jadi saya rasa ia bukan masalah buat jurulatih kita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Disember 2019 @ 6:00 AM