B SATHIANATHAN
B SATHIANATHAN
Syazwan Msar


“JEMPUTLAH sesiapapun termasuk Jose Mourinho (bekas jurulatih Manchester United) pun belum tentu boleh bawa pasukan kebangsaan ke peringkat lebih baik,” kata Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan.

Beliau mengulas saranan legenda bola sepak negara, Datuk Soh Chin Aun yang menggesa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menggunakan khidmat jurulatih Jepun atau Korea Selatan bagi mengubah landskap pasukan negara.

Sathianathan berkata, pihak berkaitan seharusnya menitik beratkan soal pembangunan membabitkan akar umbi dengan melahirkan lebih ramai pemain berkualiti dan bagi menggalas cabaran untuk menyarung jersi kebangsaan.

Beliau berkata, kehadiran jurulatih asing tidak akan membantu membentuk pasukan kebangsaan lebih mantap jika pemain sedia ada tidak memiliki kualiti bertaraf profesional.

“Kita boleh gunakan jurulatih Jepun dan Korea Selatan untuk pembangunan akar umbi dalam usaha melatih pemain lebih berkualiti. Jika untuk skuad kebangsaan, saya fikir kita tidak boleh bergantung kepada jurulatih asing untuk mengubah segala-galanya apatah lagi dengan pemain sedia ada,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Selepas melancarkan penganjuran Bolasepak Perpaduan 7 Sebelah Bawah 12 Tahun merebut Piala Datuk Soh Chin Aun di Mamee Cafe, Jonker Walk, Banda Hilir kelmarin, Chin Aun mencadangkan FAM menggunakan khidmat jurulatih Jepun dan Korea Selatan bagi membimbing Harimau Malaya.

Beliau berpendapat, skuad negara wajar mencontohi Samurai Biru dan Taeguk Warriors yang kini menjadi antara pasukan paling berjaya di Asia dengan pelbagai pencapaian termasuk layak beraksi di Piala Dunia.

Menurutnya, pada satu ketika, Malaysia menjadi rujukan Jepun apabila mewujudkan liga semi-pro pada 1989 namun kini, mereka sudah jauh ke depan berbanding skuad negara.

Sementara itu, Sathia berkata, jurulatih sedia ada seperti Tan Cheng Hoe cukup cemerlang membimbing Harimau Malaya cuma pemain yang ada tidak memenuhi kehendak menyebabkan sukar untuk meraih kejayaan di peringkat antarabangsa.

“Cheng Hoe sudah cukup bagus dalam membimbing skuad kebangsaan dan sekarang ini perlu memikirkan untuk melahirkan pemain berkualiti bermula dari akar umbi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 6:30 AM