B Sathianathan. FOTO File NSTP
B Sathianathan. FOTO File NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seandainya jodoh Tan Cheng Hoe dan pasukan negara tidak panjang, pengurusan skuad kebangsaan perlu memikirkan dan menilai sebaik-baiknya sebelum melantik ketua jurulatih baharu.

Gesaan itu dibuat bekas pengendali skuad kebangsaan B. Sathianathan, yang menyifatkan pengambilan ketua jurulatih ibarat satu perjudian.

Namun, beliau yang membimbing pasukan negara dari 2007-2009 berkata proses pelantikan perlu dibuat secara teliti, dengan mengambil kira pelbagai aspek terutamanya harga tinggi yang perlu dibelanjakan untuk mendapatkan jurulatih dan kemajuan yang positif.

Menurut Sathianathan, mengambil contoh ketua jurulatih Vietnam Park Hang-seo, pengendali kelahiran Korea Selatan itu dikatakan menerima gaji mencecah RM230,000 sebulan, yang separuh daripada jumlah itu ditanggung Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF).

"Apa yang saya dengar ASD$55,000 sebulan tanpa cukai tanpa apa-apa. Di Vietnam persekutuan bayar setengah, pengurus pasukan atau naib presiden skuad itu bayar setengah. Itu baru gaji beliau belum lagi pembantunya," katanya.

"Di Malaysia ada orang nak tolong FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) tak?. Siapa yang akan bantu FAM cari dana sebegitu besar untuk mendapatkan seseorang jurulatih?," kata bekas jurulatih pasukan Kelantan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Selangor, itu yang pernah memenangi Piala Malaysia 2010.

Media Vietnam memetik laporan Agensi Berita Vietnam (VNA) yang memaklumkan gaji Hang-seo tidak didedahkan, tetapi dilaporkan sekitar ASD$50,000 sebulan sekali gus menjadikan beliau ketua jurulatih skuad kebangsaan yang menerima bayaran tertinggi, dalam sejarah negara itu.

Nama Cheng Hoe kini hangat diperkatakan susulan kemerosotan prestasi skuad Harimau Malaya dengan kemuncaknya pada kempen Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) 2020 di Singapura, yang menyaksikan pasukan negara tersingkir seawal peringkat kumpulan.

Media tempatan turut melaporkan nasib pengendali berusia 53 tahun itu yang mempunyai kontrak sehingga penghujung 2022, akan ditentukan Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan selepas menilai laporan lengkap mengenai prestasi pasukan.

Ia sekali gus menimbulkan teka-teki sama ada Cheng Hoe akan kekal mengemudi skuad Harimau Malaya, menjelang misi getir melayakkan diri ke Piala Asia 2023 pada pusingan kelayakan, Jun tahun depan.

Prestasi terbaik skuad kebangsaan di bawah Cheng Hoe adalah pada musim 2019 apabila pasukan negara merekodkan sembilan kemenangan dalam keseluruhan 13 perlawanan, termasuk aksi persahabatan Tier 1 dengan empat daripadanya menewaskan pasukan di ranking lebih tinggi pada ketika itu.

Sathianathan pada masa sama melihat pengambilan jurulatih dari Korea Selatan dan Jepun menjadi trend di rantau Asia Tenggara, dengan Indonesia turut dibimbing Shin Tae-yong yang merupakan jurulatih dari negara itu sementara Kemboja dan Singapura menggunakan khidmat jurulatih dari Jepun.

Beliau berkata antara mereka ada yang lebih cenderung untuk memulakan misi mengubah struktur bola sepak sesebuah negara itu melalui skuad lebih muda, yang dibarisi pemain Bawah 23 Tahun (B-23) sebelum secara perlahan-lahan mengambil alih tugas bersama skuad kebangsaan.

Malah tempoh dan 'kebebasan' yang diberikan Vietnam kepada Hang-seo untuk membawa skuad Naga Emas sehingga menjadi pasukan terbaik di rantau ini, selain mampu bersaing di pentas Asia wajar dicontohi.

Justeru pengendali berusia 63 tahun itu berkata autoriti dalam menentukan keseluruhan perancangan skuad kebangsaan termasuk pemilihan pemain dan jurulatih, selain cara permainan perlu diberikan kepada ketua jurulatih, jika FAM berhasrat mendapatkan calon baharu.

"Dia (ketua jurulatih) ada rancangan jangka panjang. Kita kena dapatkan calon betul-betul hebat, betul-betul sesuai dengan kelayakan untuk bawa skuad kebangsaan dan kena sabar. Pemilihan (pemain) terpulang kepada jurulatih itu, cara apa dia nak bawa dan cara kendaliannya.

"Saya terima kalau jurulatih asing yang betul-betul layak, tetapi kita kena lihat dari sudut pembayaran gaji. Memang kalau permohonan dibuka ramai akan mohon, semua kata dia handal, ada juga yang tak pernah bawa pasukan pun akan mohon asalkan dia dari Brazil, Itali atau Perancis," katanya.

Sementara itu, Sathianathan yang juga Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) mencadangkan supaya, pemilihan ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan selepas ini ditentukan pakar berkemahiran dalam bidang bola sepak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Disember 2021 @ 9:49 PM